Apabila semua orang mahu jadi wartawan

Iklan
Wartawan memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada masyarakat sejak dahulu hingga kini. Foto: Bernama

KITA sedang berdepan satu keadaan yang membimbangkan apabila sesiapa sahaja mahu menyampai berita, tetapi tidak semua memahami tanggungjawab sebenar seorang wartawan.

Dengan hanya sebuah telefon pintar dan capaian internet, seseorang boleh merakam kejadian, menulis laporan, memuat naik video dan menyebarkannya kepada ribuan pengguna dalam beberapa saat.

Iklan
Iklan

Lambakan maklumat ini menjadikan masyarakat semakin sukar membezakan antara laporan sahih dengan kandungan yang sekadar mengejar perhatian.

Hakikatnya menjadi wartawan bukan sekadar pantas menyampaikan sesuatu kejadian. Ia menuntut disiplin, semakan fakta, keadilan dalam pelaporan dan pematuhan kepada etika kewartawanan.

Iklan

Kebebasan bersuara tidak bermaksud seseorang bebas menyebarkan apa sahaja tanpa memikirkan akibatnya. Maklumat yang salah boleh mencetuskan fitnah, merosakkan reputasi dan menjejaskan kehidupan individu yang menjadi subjek laporan.

Dalam hal ini, anugerah media mempunyai peranan lebih besar daripada sekadar mengiktiraf karya terbaik.

Iklan

Penganjuran seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS, Anugerah Kecemerlangan Media KPKT dan terbaru Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP boleh menjadi pemangkin persaingan sihat untuk melahirkan karya yang berwibawa.

Namun penilaian tidak boleh hanya tertumpu kepada kreativiti, jumlah tontonan atau keupayaan menarik perhatian khalayak. Ketepatan fakta, kedalaman penyelidikan, integriti dan pematuhan etika mesti menjadi asas utama.

Penganjur juga perlu membuka ruang kepada karya yang membongkar isu masyarakat, menegur kelemahan dasar dan mengangkat suara golongan terpinggir, bukannya sekadar laporan yang memuji kejayaan organisasi.

Akhirnya, masyarakat tidak hanya memerlukan lebih ramai orang yang sekadar pandai menyebarkan maklumat. Sebaliknya, kita memerlukan lebih ramai pengamal media yang tahu membezakan antara fakta dengan andaian, kepentingan awam dengan kepentingan peribadi serta kebebasan dengan tanggungjawab.

Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, kewartawanan berkualiti bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan.