Lima calon dengan lima pelan khusus dari PN untuk pengundi Melaka

Iklan
Manifesto BN-PN mengandungi enam teras dan 113 inisiatif.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 mempertemukan dua ujian yang tidak boleh dipisahkan, iaitu mutu tawaran calon dan keupayaan gabungan politik melaksanakannya.

Seperti biasa, persoalan yang timbul bukanlah siapa yang paling lantang berjanji, tetapi siapa mampu menjelaskan sasaran, kos, kuasa pelaksana dan tempoh pencapaian.

Iklan
Iklan

Perikatan Nasional (PN) mengemukakan manifesto khusus bagi lima kawasan yang ditandingi olehnya di samping manifesto bersama Barisan Nasional (BN)-PN.

113 inisiatif: Angka besar, tanggungjawab besar

Iklan

Manifesto bersama BN–PN bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara mengandungi enam teras dan 113 inisiatif, dengan komitmen yang dibahagikan kepada tempoh 100 hari, satu tahun dan lima tahun.

Antara sasaran utamanya termasuk penyediaan 25,000 rumah mampu milik, pewujudan 25,000 peluang pekerjaan, penarikan pelaburan RM30 bilion, air percuma bagi penggunaan domestik di bawah 20 meter padu sebulan serta tiada kenaikan kadar cukai tanah selama lima tahun.

Iklan

Manifesto itu juga menggariskan langkah memperkukuh latihan TVET, bantuan kebajikan, peluang perniagaan, sistem penyampaian kerajaan, infrastruktur awam dan penggunaan teknologi.

Pembahagian komitmen mengikut tempoh pelaksanaan menyediakan asas untuk menilai kemajuan program secara berperingkat.

Malah, cadangan mewujudkan Pusat Pemantauan Pelaksanaan Manifesto merupakan mekanisme yang relevan untuk memastikan komitmen politik tidak terhenti selepas pilihan raya.

Namun begitu, sasaran pembangunan berskala besar tetap memerlukan perincian kewangan, kapasiti pelaksanaan dan kerjasama agensi berkaitan.

Di sinilah tawaran khusus calon DUN menjadi penting kerana sebahagian masalah harian penduduk boleh ditangani melalui penyelarasan yang lebih dekat antara pejabat wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

RAFIE

Rafie Ahmad: Menangani masalah Paya Rumput melalui tindakan setempat

Di Paya Rumput, Rafie Ahmad mengemukakan tawaran yang merangkumi masalah infrastruktur serta pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat.

Antara cadangannya ialah pelan kontingensi banjir komuniti, penyuraian kesesakan trafik di Taman Paya Rumput Perdana, Cheng dan Tanjung Minyak, penambahbaikan kawasan rekreasi serta usaha memudah cara pembinaan Masjid Kampung Tampoi.

Beliau turut menawarkan latihan TVET, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana, program penjanaan pendapatan wanita dari rumah serta sistem aduan rakyat yang lebih responsif.

Dalam aspek kebajikan, Rafie mencadangkan pangkalan data penerima bantuan yang dikemas kini bagi mengurangkan keciciran, tuisyen percuma untuk keluarga B40, Tabung Kasih Ibu serta saringan kesihatan wanita melalui mammogram dan Pap smear bersubsidi.

Keistimewaan pendekatan ini dari sudut perancangan ialah pengenalpastian lokasi, kumpulan penerima manfaat dan bentuk program yang dicadangkan.

Latar belakang Rafie dalam perniagaan, pengurusan industri serta pengendalian Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu turut relevan dalam menilai keupayaannya menyelaraskan program tersebut.

Paya Rumput mempunyai 46,521 pemilih berdaftar pada PRN 2026, meningkat sebanyak 20,066 orang berbanding 26,455 pemilih pada 2021.

Berdasarkan data demografi pilihan raya, komposisi pemilih merangkumi kira-kira 62.4 peratus Melayu, 28.9 peratus Cina, 6.1 peratus India dan 2.6 peratus kumpulan lain.

Pada PRN 2021, Datuk Rais Yasin daripada BN memenangi Paya Rumput dengan 6,830 undi, mengatasi Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PH yang memperoleh 6,201 undi dan Muhammad Faris Izwan Mazlan daripada PN sebanyak 3,972 undi dan dua calon lain,

Menariknya, jumlah matematik undi BN dan PN pada 2021 mencecah 10,802 undi, iaitu 4,601 undi mengatasi PH. Angka tersebut memperlihatkan kepentingan kerjasama baharu BN–PN dalam memahami sejarah persaingan kerusi ini, walaupun undi penyokong kedua-dua gabungan tidak semestinya berpindah secara automatik.

Pada PRN 2026, Rafie berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Datuk Azman Abidin daripada PKR, yang merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada BERSAMA, seorang peguam syarie yang mempunyai latar penglibatan dalam PKR.

Azman, yang mempunyai hubungan langsung dengan pentadbiran Persekutuan, menawarkan empat aspirasi yang menumpukan infrastruktur, keselamatan, ekonomi komuniti, kesejahteraan kediaman dan pembangunan generasi muda selain menjanjikan “bulan bintang” kepada pengundi.

Bagaimanapun, manifesto Rafie dilihat lebih berdaya maju dan membumi kerana ia mengenal pasti program dan lokasi tindakan yang lebih terperinci sementara aspirasi Azman tidak disertai penerangan lanjut mengenai pembiayaan, garis masa dan mekanisme pelaksanaannya.

Paya Rumput menjadi medan penting untuk menguji keberkesanan kerjasama BN–PN, khususnya dalam menyelaraskan jentera, memperkenalkan Rafie kepada pengundi baharu dan membina penerimaan merentas kaum.

RIDZUAN

Ridzuan Sarif: Empat teras kebajikan dan pembangunan Bukit Katil

Di Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif mengemukakan empat teras utama melibatkan kebajikan keluarga dan pendidikan, kemahiran serta pekerjaan, infrastruktur dan trafik, selain rekreasi serta kebersihan persekitaran.

Antara tawaran yang mempunyai ukuran jelas ialah cadangan subsidi 50 peratus yuran asuhan kanak-kanak untuk keluarga yang layak, khususnya B40.

Program ini disasarkan untuk mengurangkan sebahagian beban kewangan keluarga yang mempunyai anak kecil. Pelaksanaannya dicadangkan melalui kerjasama penyedia asuhan dan penyaluran bantuan Pejabat ADUN.

Ridzuan turut mencadangkan kelas literasi kewangan, tuisyen percuma, latihan kemahiran melalui kolej komuniti, pusat padanan pekerjaan, bantuan kepada OKU serta pusat rehat khas untuk pekerja penghantaran makanan dan barangan.

Dalam aspek infrastruktur, beliau mencadangkan wakil penghubung komuniti bagi menyelaraskan aduan jalan, lampu dan perparitan. Prestasi pengurusan aduan pula mahu dijadikan petunjuk prestasi utama pejabat wakil rakyat.

Cadangan tersebut mempunyai kaitan dengan pengalaman hampir dua dekad Ridzuan dalam perkhidmatan kesihatan awam dan penguatkuasaan.

Bukit Katil mempunyai 35,359 pemilih berdaftar pada PRN 2026, meningkat sebanyak 9,949 orang berbanding 25,410 pemilih pada 2021. Komposisi pemilih terdiri daripada 23,632 Melayu, 10,306 Cina, 1,352 India dan 69 lain-lain.

Pada PRN 2021, Adly Zahari daripada AMANAH memenangi Bukit Katil dengan 6,805 undi, menewaskan Datuk Wira Hasnoor Sidang Hussin daripada BN–UMNO yang memperoleh 5,748 undi, Muhammad Al Afiz Yahya daripada PAS sebanyak 3,715 undi dan calon Bebas.

Menariknya, gabungan matematik undi BN dan PN pada 2021 menghasilkan 9,463 undi, iaitu 2,658 undi mengatasi PH. Angka ini menunjukkan bahawa kerjasama baharu BN–PN merupakan pemboleh ubah penting dalam persaingan Bukit Katil, walaupun pemindahan undi antara penyokong kedua-dua gabungan tidak semestinya berlaku secara automatik.

Pada PRN 2026, Ridzuan menghadapi pertandingan empat penjuru menentang Adly Zahari, Dr Aliza Che Amran daripada BERSAMA dan Datuk Abu Bakar Sabudin sebagai calon Bebas. Kehadiran Abu Bakar, yang mempunyai latar kepimpinan akar umbi UMNO, turut menambahkan kerumitan persaingan, khususnya dalam menilai penyatuan sokongan BN–PN.

Adly mempunyai kelebihan pengalaman sebagai bekas Ketua Menteri Melaka, penyandang Bukit Katil dan Pengerusi PH Melaka. Bagaimanapun, tanggungjawab beliau mengetuai kempen PH di 24 DUN selain sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah turut menuntut pembahagian masa antara tugas kepimpinan negeri dengan usaha mempertahankan kerusi sendiri.

Persaingan ini menyediakan ruang kepada pengundi menilai pengalaman pentadbiran politik dan penawaran program komuniti walaupun jelas kepada semua bahawa Adly mempunyai kekangan masa untuk turun padang.

MICHAEL GAN

Michael Gan: Komitmen 30 hari dan maklum balas 24 jam di Ayer Keroh

Manifesto Michael Gan di Ayer Keroh menonjolkan isu kecekapan penyampaian perkhidmatan dan kebajikan masyarakat.

Antara komitmen khususnya ialah membuka Pusat Khidmat Masyarakat DUN dalam tempoh 30 hari selepas dipilih serta menyediakan talian WhatsApp pejabat ADUN dengan maklum balas dalam tempoh 24 jam.

Cadangan ini mempunyai ukuran masa yang boleh dipantau secara langsung oleh penduduk.

Michael turut mencadangkan kelas bimbingan akademik percuma, bantuan peranti pembelajaran kepada pelajar memerlukan, van percuma untuk warga emas ke Pusat Aktiviti Warga Emas Bukit Baru dan klinik geriatrik bergerak.

Di samping itu, cadangan bazar bulanan dengan kadar sewaan rendah boleh dikaji sebagai saluran membantu peniaga kecil mendapatkan ruang perniagaan.

Michael berdepan pertandingan empat penjuru menentang penyandang PH-DAP, Kerk Chee Yee, Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (BERSAMA) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu).

DUN Ayer Keroh mempunyai 38,252 pemilih berdaftar pada PRN 2026, dengan komposisi sekitar 47.6 peratus Cina, 42.4 peratus Melayu dan 8.3 peratus India.

Pada PRN 2021, Kerk menang dengan 9,459 undi, mengatasi Yong Fun Juan (BN) yang memperoleh 3,835 undi dan Michael sendiri (PN) sebanyak 2,479 undi.

Secara matematik, gabungan undi BN–PN ketika itu berjumlah 6,314 undi, masih ketinggalan 3,145 undi berbanding PH.

Justeru, Ayer Keroh sememangnya medan persaingan mencabar, apatah lagi DAP mempertahankan kerusi tersebut sejak 2008.

Bagaimanapun, pertambahan pemilih daripada 25,945 orang pada 2021 kepada 38,252 orang pada 2026, termasuk kira-kira 9,900 pengundi berusia 18 hingga 29 tahun, serta perubahan kerjasama politik BN–PN memperkenalkan pemboleh ubah baharu yang menarik untuk diperhatikan.

ALBERT KOK

Albert Kok: Keselamatan bandar, ekonomi gig dan kebajikan warga emas

Di Kesidang, Albert Kok mengemukakan manifesto yang meliputi pelbagai dimensi kehidupan bandar.

Antara cadangannya ialah pemasangan CCTV pintar di zon berisiko dan laluan sekolah, peningkatan pencahayaan jalan serta lintasan pejalan kaki, selain parkir percuma selama 10 minit bagi memudahkan urusan singkat penduduk.

Beliau turut mencadangkan van mobiliti mesra kerusi roda, pusat pekerjaan gig, geran mikro, program literasi AI, pusat pengumpulan sisa elektronik dan program ekonomi kitaran.

Dalam aspek kebajikan, cadangan Golden Age Voucher bernilai RM150 setahun menyediakan ukuran bantuan yang jelas bagi warga emas.

Manifesto Albert juga mencadangkan laporan berkala pelaksanaan projek, dialog penduduk dan pendedahan maklumat peruntukan.

Albert Kok berdepan pertandingan tiga penjuru yang amat mencabar menentang penyandang PH-DAP, Allex Seah Shoo Chin, dan Dr Bryan Kek Kit Hun daripada BERSAMA.

Kesidang merupakan DUN dengan jumlah pemilih terbesar di Melaka, iaitu 54,910 orang pada PRN 2026, meningkat sebanyak 17,606 orang (47.20 peratus) berbanding 37,304 pemilih pada 2021.

Komposisi pemilihnya terdiri daripada kira-kira 54.7 peratus Cina, 38.5 peratus Melayu, 5.0 peratus India dan 1.8 peratus lain-lain.

Pada PRN 2021, Allex mencatatkan kemenangan besar dengan memperoleh 14,769 undi (65.9 peratus), jauh mengatasi Leong Hui Ying daripada BN yang meraih 4,532 undi (20.2 peratus) dan Patrick Ng Chin Kae daripada PN dengan 3,124 undi (13.9 peratus).

Malah, gabungan matematik undi BN–PN ketika itu hanya berjumlah 7,656 undi, masih ketinggalan 7,113 undi berbanding PH. Justeru, Kesidang sememangnya medan pertarungan yang sangat sukar bagi Albert, lebih-lebih lagi kerusi ini dikuasai DAP sejak 2008.

Walaupun kerjasama BN–PN dan pertambahan hampir 50 peratus pemilih memperkenalkan pemboleh ubah baharu, cabaran PN bukan sekadar menyatukan pengundi kedua-dua gabungan, tetapi juga membina penerimaan lebih luas terhadap calon dan tawaran pembangunan yang dikemukakan.

DR MOHD YADZIL

Dr Yadzil Yaakob: Bemban, pendidikan dan pembangunan komuniti

Di DUN N24 Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub daripada Parti Wawasan Negara menawarkan pelbagai program pembangunan komuniti untuk pengundi.

Sebagai penyandang yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Melaka, beliau membawa rekod pengalaman pentadbiran dan perkhidmatan masyarakat untuk dinilai pengundi.

Kali ini beliau menawarkan rangka program yang merangkumi pendidikan, kesihatan, kebajikan, ekonomi dan infrastruktur. Antara cadangannya ialah pusat khidmat bergerak mingguan, tuisyen percuma, bantuan peranti digital, hab dan karnival TVET serta program latihan kemahiran bersama institusi berkaitan.

Bagi pembangunan belia, beliau menawarkan Bemban Youth Hub untuk kegiatan kandungan digital, e-sukan dan kreativiti, selain pusat kegiatan belia yang menggalakkan kesukarelawanan.

Dalam kebajikan masyarakat, Yadzil mencadangkan pengangkutan untuk pesakit yang menjalani rawatan hospital dan dialisis, program baik pulih kediaman daif, sokongan warga emas serta taska komuniti bersubsidi.

Cadangan pelan induk tebatan banjir, audit keselamatan jalan dan usaha membaik pulih infrastruktur pula menyentuh isu asas yang memerlukan penyelarasan teknikal.

Bemban mempunyai 26,381 pemilih berdaftar pada PRN 2026, meningkat daripada 18,573 orang pada 2021. Komposisi pengundinya terdiri daripada kira-kira 62.1 peratus Melayu, 19.7 peratus Cina, 17.0 peratus India dan selebihnya kumpulan lain.

Pada PRN 2021, Yadzil yang ketika itu mewakili Bersatu memenangi Bemban dengan 4,211 undi, menewaskan Datuk Koh Chin Han daripada BN yang memperoleh 3,883 undi, Tey Kok Kiew daripada DAP dengan 3,095 undi serta dua calon Bebas. Majoriti kemenangan Yadzil hanyalah 328 undi, memperlihatkan persaingan sengit ketika itu.

Pada PRN 2026, Yadzil berdepan pertandingan empat penjuru menentang Muhammad Rabaie Ab Hamid daripada Bersatu, Dr Muhammad Solehin Saleh daripada BERSAMA dan Abd Halim Said sebagai calon Bebas.

Dari sudut sejarah pengundian, jumlah undi BN dan PN pada 2021 ialah 8,094 undi, berbanding 3,095 undi PH. Bagaimanapun, perubahan penjajaran parti, pencalonan Bersatu secara berasingan serta pertambahan pemilih menjadikan pemindahan undi sesuatu yang tidak boleh dianggap berlaku secara automatik.

Pendekatan PN mengemukakan manifesto khusus bagi setiap lima DUN yang ditandinginya merupakan perkembangan penting dalam PRN Melaka.

Lima calon, lima manifesto dan ujian besar kerjasama BN-BN

Secara keseluruhannya, pendekatan PN mengemukakan manifesto khusus bagi setiap lima DUN yang ditandinginya merupakan perkembangan penting dalam PRN Melaka.

Setiap calon bukan sekadar bergantung kepada 113 inisiatif manifesto bersama BN–PN, malah menawarkan program yang disesuaikan dengan permasalahan penduduk setempat.

Kesediaan PN menerima pembahagian hanya lima kerusi, berbanding 23 kerusi kepada BN, juga memperlihatkan pendekatan kompromi dalam rundingan politik.

Pembahagian ini membolehkan PN menumpukan sumber, tenaga jentera dan penyelarasan kempen kepada lima kawasan, tanpa pertembungan sesama rakan gabungan.

Dari sudut ukuran pencapaian, kemenangan di tiga atau empat daripada lima kerusi yang ditandingi sudah tentu merupakan satu keputusan yang amat signifikan bagi PN.

Sekiranya kelima-lima kerusi berjaya dimenangi, yang tidak boleh diketepikan secara mutlak, ia akan menjadi pencapaian luar biasa yang membawa implikasi besar terhadap kedudukan PN dalam kerjasama politik Melaka.

Lebih penting, keputusan PRN Melaka akan menjadi ukuran terhadap keberkesanan kerjasama BN–PN, khususnya kemampuan kedua-dua gabungan menyatukan jentera, mengurus perbezaan politik dan menterjemahkan manifesto kepada pentadbiran yang berkesan.

Sekiranya kerjasama ini berjaya diperkukuh selepas pilihan raya, pengalaman Melaka boleh menjadi rujukan penting bagi rundingan politik di peringkat nasional.

* Ts Abdul Razak Ab Halim ialah Naib Presiden NGO MPROS (Pertubuhan Kebajikan Muslim Profesional Sejahtera Malaysia(MPROS))