HULU SELANGOR – Satu lagi mayat mangsa yang hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak di sini ditemukan berhampiran kawasan Empangan Sungai Selangor pada Khamis.
Penemuan kira-kira jam 10.15 pagi itu menjadikan enam daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus dalam kejadian Isnin lalu berjaya ditemukan, manakala dua lagi masih hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut memberi tumpuan di Sektor A selepas pasukan mengesan bau dipercayai daripada mangsa di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dua anjing pengesan (K9) digerakkan ke lokasi yang terletak berhampiran kawasan empat mangsa ditemukan pada Selasa lalu.
"Ketika tinjauan, kita memang mengesan bau secara berselang-seli di kawasan berkenaan, namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa," katanya pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan lapan lelaki dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin lalu.
Seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada jam 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.
Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.
Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.
Dalam kejadian itu, seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat, dengan lapan lelaki dihanyutkan arus manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri serta diselamatkan anggota bomba.
Sementara itu, katanya, operasi SAR pada Khamis bermula jam 7 pagi dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor bagi memperluas kawasan pencarian.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari kawasan Lata Jebus hingga ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tapak Berkelah Sungai Pertak.
"Anggota JBPM, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula menumpukan pencarian dari Sektor B hingga C, berhampiran Empangan Sungai Selangor.
"Sebanyak lima bot turut digerakkan bagi memantau keadaan sungai dan melakukan pembersihan permukaan air di Sektor C dan D susulan lambakan sampah yang dihanyutkan arus selepas kejadian kepala air kedua petang semalam," katanya.
Ashrul Riezal berkata, dron JBPM turut digunakan bagi melakukan tinjauan udara meliputi Sektor A hingga D, termasuk kawasan empangan, dengan jarak keseluruhan kira-kira 3.5 kilometer.