GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membuat laporan polis susulan kejadian pencerobohan, vandalisme dan kecurian beberapa komponen infrastruktur di kawasan Terusan Pokok Sena yang dikesan pada Isnin.
Menurut kenyataanya, satu laporan polis telah dibuat pada jam 1.07 tengah hari hari sama bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
"Kejadian itu dikesan oleh Polis Bantuan PBAPP ketika menjalankan rondaan keselamatan rutin di kawasan tersebut.
"Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku kerosakan serta kehilangan beberapa komponen infrastruktur di kawasan berkenaan," katanya pada Selasa.
Susulan kejadian itu, PBAPP berkata, pihaknya mengambil langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan dan rondaan bagi melindungi aset serta memastikan kelancaran operasi pelepasan air dari Empangan Mengkuang melalui Terusan Pokok Sena.
"Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
"PBAPP turut menghargai kerjasama dan keprihatinan orang awam dalam membantu memastikan keselamatan infrastruktur bekalan air negeri ini," katanya.