Peniaga kini boleh terima DuitNow Pay menerusi RHB PAY

Iklan
RHB merupakan satu-satunya bank tempatan yang menawarkan penerimaan pembayaran atas talian dan pembayaran berulang secara serentak di bawah sistem RHB PAY

RHB Bank Berhad (RHB) muncul sebagai bank pertama di Malaysia yang membolehkan peniaga menerima pembayaran DuitNow Pay menerusi platform digitalnya, RHB PAY.

Lebih menarik, RHB merupakan satu-satunya bank tempatan yang menawarkan penerimaan pembayaran atas talian dan pembayaran berulang secara serentak di bawah sistem berkenaan.

Iklan
Iklan

Langkah tersebut membolehkan peniaga beralih daripada sistem FPX dan Debit Terus kepada DuitNow Pay tanpa perlu menukar platform sedia ada.

Kemudahan berkenaan juga membolehkan pelanggan membuat pembayaran pembelian dalam talian menggunakan akaun perbankan atau dompet elektronik pilihan menerusi DuitNow Online Banking/Wallets (DOBW).

Iklan

Bagi pembayaran berulang pula, DuitNow AutoDebit (DNAD) membolehkan pelanggan memberikan kebenaran sekali sahaja untuk urusan seperti langganan, yuran keahlian dan bil bulanan, sebelum kutipan dibuat secara automatik berdasarkan persetujuan ditetapkan.

Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB Bank Berhad, Datuk Nurjesmi Mohd Nashir berkata, penyelesaian berkenaan membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dengan perkembangan kaedah pembayaran digital tanpa perlu melakukan perubahan besar terhadap infrastruktur kutipan sedia ada.

Iklan

"Melalui sokongan terhadap DuitNow Pay menerusi RHB PAY, kami menyediakan kaedah mudah kepada peniaga untuk menggunakan kemudahan pembayaran baharu sambil terus memanfaatkan platform sama yang sedia digunakan bagi urusan kutipan pembayaran mereka.

"Ini membolehkan perniagaan bertindak lebih pantas terhadap perubahan jangkaan pelanggan, mengurangkan kerumitan proses integrasi serta berada pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan penambahbaikan pada masa hadapan dalam ekosistem pembayaran digital Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan B Mainor berkata, peluasan penerimaan DuitNow Pay menerusi platform perbankan sedia ada merupakan langkah penting dalam mempercepat penggunaan pembayaran digital yang saling beroperasi di Malaysia.

"Dengan membolehkan pembayaran dalam talian dan pembayaran berulang menerusi RHB PAY, kami memudahkan perniagaan menerima pakai kemudahan pembayaran baharu, selain memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna.

"Kerjasama ini mencerminkan kepentingan perkongsian dalam industri bagi memperluas penggunaan infrastruktur pembayaran bersama serta memperkukuh ekosistem pembayaran digital Malaysia," katanya.

RHB PAY yang dilancarkan pada Ogos 2026 merupakan gerbang pembayaran dalam talian bersepadu milik RHB yang membolehkan peniaga menerima pembayaran kad, FPX dan DuitNow Pay menerusi satu integrasi, dengan semua kutipan dikreditkan terus ke akaun RHB secara masa nyata.

Platform tersebut turut dilengkapi fungsi penyelarasan transaksi automatik bagi mengurangkan beban pentadbiran, meningkatkan ketepatan rekod serta membantu perniagaan memantau aliran tunai dengan lebih berkesan.

Selain itu, RHB turut menyediakan kemudahan pembayaran invois menerusi DuitNow Request to Pay yang membolehkan perniagaan menghantar permintaan pembayaran berserta butiran invois melalui aplikasi perbankan yang mengambil bahagian.