Prabowo perlu fikir panjang sebelum mahu Gibran berundur

Iklan
Hasrat Gibran yang mahu berundur daripada kerajaan pimpinan Prabowo bakal beri kesan besar dalam politik Indonesia. Foto Agensi

PERKEMBANGAN terbaharu apabila Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto pada Selasa, membuka satu lagi episod ketidaktentuan politik di republik itu.

Namun, penting ditegaskan bahawa Gibran belum secara rasmi meletakkan jawatan dan belum ada pengesahan bahawa pengunduran dirinya diterima.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Reuters dan Associated Press (AP), hasrat tersebut disampaikan ketika kedudukan Gibran berdepan tekanan susulan pertikaian kelayakan dokumen pendidikannya yang digunakan ketika Pilihan Raya Presiden 2024.

Signifikannya perkembangan ini bukan sekadar mengenai masa depan seorang naib presiden, tetapi turut menguji kekuatan pakatan politik yang membawa Prabowo ke tampuk pemerintahan.

Iklan

Gibran bukan sekadar pasangan pilihan raya Prabowo. Beliau merupakan anak kepada bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang sokongan politiknya memainkan peranan penting dalam kemenangan besar Prabowo pada 2024.

Oleh itu, kemungkinan Gibran meninggalkan kerajaan boleh menandakan keretakan lebih serius hubungan Prabowo dengan Jokowi, sekali gus mengubah keseimbangan kuasa dalam politik Indonesia.

Iklan

Dari sudut pentadbiran, pengunduran Gibran tidak semestinya melumpuhkan kerajaan Prabowo.

Presiden masih mempunyai kuasa eksekutif dan sokongan majoriti besar dalam Parlimen. Malah, Istana menegaskan urusan pentadbiran serta program kerajaan akan diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, kesan politiknya mungkin lebih besar daripada kesan pentadbiran kerana Prabowo berisiko kehilangan sokongan kelompok politik yang selama ini dikaitkan dengan Jokowi.

Kekuatan sokongan daripada bekas presiden Jokowi masih membayangi Prabowo.Foto Agensi

Gibran jadi liabiliti kepada Prabowo

Persoalan lebih besar ialah sama ada Gibran selama ini menjadi liabiliti kepada kerajaan Prabowo. Kontroversi kelayakan umurnya ketika pencalonan pada 2023, pertikaian dokumen pendidikan serta persoalan campur tangan politik dalam proses pencalonannya telah menjejaskan persepsi terhadap integriti institusi demokrasi Indonesia.

Dalam konteks ini, Gibran boleh dianggap sebagai beban reputasi yang memaksa kerajaan berulang kali berdepan isu politik berbanding memberi tumpuan kepada agenda pembangunan.

Dari sudut ekonomi pula, kemungkinan pengundurannya boleh memberikan sedikit kelegaan kepada sentimen politik sekiranya ia membantu meredakan pertikaian dalaman kerajaan. Namun, keyakinan pelabur tidak akan pulih hanya dengan perubahan jawatan naib presiden.

Reuters sebelum ini melaporkan kebimbangan pelabur terhadap ketidaktentuan dasar, tekanan fiskal dan kelemahan pasaran kewangan Indonesia. Isu kepastian undang-undang serta konsistensi peraturan turut menjadi kebimbangan utama komuniti perniagaan.

Info grafik kronologi pentadbiran Prabowo dan Gibran.

Oleh itu, Prabowo perlu membuktikan kestabilan institusi dan hala tuju ekonomi yang lebih jelas.

Bagi rakyat pula, perkembangan ini mungkin meredakan sebahagian kemarahan terhadap kontroversi politik, tetapi tidak semestinya menyelesaikan keresahan berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keberkesanan dasar kerajaan.

Jadi, Gibran mungkin bukan punca utama segala masalah pentadbiran Prabowo, tetapi kontroversi yang mengiringi kedudukannya telah menjadi liabiliti politik yang sukar diketepikan.

Jika beliau benar-benar berundur, Prabowo berpeluang menyusun semula kekuatan politiknya. Namun, cabaran sebenar ialah memastikan perubahan itu tidak mencetuskan perpecahan baharu dengan kem Jokowi.

Persoalannya, adakah Prabowo mampu membina kekuatan politik sendiri tanpa lagi bergantung kepada bayang-bayang bekas presiden itu?