Dari Kinabalu ke Himalaya, malim gunung tawan laluan setinggi 5,416 meter

Iklan
Juani berjaya menawan laluan pergunungan Thorong La Pass pada ketinggian 5,416 meter di Banjaran Himalaya, Nepal.

KOTA KINABALU - Seorang Malim Gunung Kinabalu antara tiga individu dari Sabah yang berjaya menawan laluan pergunungan Thorong La Pass pada ketinggian 5,416 meter di Banjaran Himalaya, Nepal, pada Ahad lalu.

Malim gunung berkenaan, Juani Bigul, 40, berjaya menyempurnakan cabaran itu bersama dua lagi peserta, Roslyn Bulongik, 37, dan Preshila Jefery, 36, dalam keadaan suhu ekstrem mencecah negatif 23 darjah Celsius.

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga mereka berjaya tiba di Thorong La Pass pada jam 10.50 pagi waktu Nepal, 8 November lalu, menerusi ekspedisi Annapurna Circuit Trek.

Laluan pergunungan itu berada kira-kira 1,321 meter lebih tinggi berbanding puncak Gunung Kinabalu yang mencatatkan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut.

Iklan

Perbezaan ketinggian yang ketara itu sekali gus memberi gambaran mengenai cabaran yang dihadapi ketiga-tiga peserta, khususnya ketika mengharungi laluan pada altitud melebihi 5,000 meter dengan keadaan udara yang semakin nipis serta suhu jauh di bawah paras beku.

Menurut perkongsian Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn Bhd (MKA), ketiga-tiga peserta berjaya menyempurnakan pendakian serta turun dengan selamat walaupun berdepan cabaran altitud tinggi dan cuaca sejuk melampau.

Iklan

Roslyn yang merupakan penganjur ekspedisi berkenaan turut terlibat dalam bidang agensi pelancongan, manakala Juani mempunyai pengalaman sebagai Malim Gunung Kinabalu.

Kejayaan itu sekali gus menjadi pengalaman membanggakan buat ketiga-tiga peserta yang membawa semangat pengembaraan dari Borneo hingga ke Banjaran Himalaya.

Ekspedisi bertemakan 'Dari Sabah Borneo ke Himalaya Ku Daki' itu turut membuktikan keupayaan peserta mengharungi cabaran pendakian di kawasan pergunungan beraltitud tinggi.