KOTA KINABALU - Pertubuhan Hardy Malaysia meneroka potensi kerjasama strategik dengan Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan pengurusan bencana di negara ini.
Pengerusi Pertubuhan Hardy Malaysia Lt Kol Bersekutu (PA) Shazwan Hardy Kusnondar berkata, kerjasama itu berpotensi merangkumi bidang latihan, pendidikan dan kesedaran masyarakat, bantuan kemanusiaan serta perkongsian kepakaran dalam pengurusan bencana.
Beliau berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk meneroka ruang kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan institusi akademik, khususnya dalam meningkatkan keupayaan menghadapi situasi kecemasan.
"Antara aspek yang kita lihat berpotensi untuk bekerjasama ialah penganjuran latihan dan program peningkatan kemahiran berkaitan pengurusan serta tindak balas bencana.
"Selain itu, pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai risiko bencana, langkah keselamatan serta persediaan menghadapi kecemasan juga perlu diperluas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, NDRC UMS yang ditubuhkan secara rasmi pada Mac 2006 berperanan sebagai pusat tumpuan penyelidikan berkaitan bencana alam di universiti berkenaan sebelum dinaik taraf sebagai salah satu Pusat Kecemerlangan UMS pada April 2016.
Pusat itu menjalankan penyelidikan asas dan gunaan, menyediakan khidmat rundingan serta kepakaran, menerbitkan hasil penyelidikan dan melaksanakan program kesedaran awam berkaitan bencana alam.
Antara bidang penyelidikan utamanya termasuk gempa bumi dan tsunami, tanah runtuh, banjir, hakisan sungai dan pantai, kemarau serta kebakaran hutan.
Menurut Shazwan, kerjasama itu turut berpotensi memperkukuh penyelarasan bantuan dan operasi kemanusiaan kepada mangsa bencana, selain menggalakkan perkongsian ilmu serta pengalaman antara kedua-dua pihak.
Lawatan rasmi Pertubuhan Hardy Malaysia ke NDRC UMS disambut Pengarah NDRC UMS Prof Dr Sahibin @ Sahibini Abdul Rahim bersama Timbalan Pengarah Pertubuhan Hardy Malaysia Mejar Bersekutu (PA) Mohd Shamsuri Mohd Jamaludin.
Hadir sama Presiden CDA Kazuko, Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Kehormat (PA) Datuk Seri N W Hisham Abdul Wahab.
Dalam pada itu, Shazwan menyifatkan pertemuan itu sebagai langkah awal membina jaringan kerjasama lebih tersusun dan berterusan bersama institusi penyelidikan serta pihak berkepakaran dalam bidang bencana alam.
"Harapan kita agar pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih tersusun, berimpak dan berterusan demi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat serta memperkukuh gerak kerja kemanusiaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana," katanya.