KUCHING - Seni pergendangan tradisional berpotensi terus diperkasakan sebagai produk pelancongan budaya negara menerusi penganjuran Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 yang menghimpunkan penggiat seni tempatan dan serantau.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, festival bertemakan 'Nadi Warisan Irama Tradisi' itu mengetengahkan keunikan seni pergendangan sebagai tarikan selain usaha memartabatkan seni dan budaya Sarawak.
Menurutnya, penganjuran festival berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara serta memperluas promosi seni budaya, khususnya di negeri itu.
"Dua tokoh gendang diangkat pada festival ini yang mana Anugerah Tokoh Seni Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Dahlan Morni, manakala Anugerah Primadona Seh Gendang Melayu Sarawak diterima Jemon Sitam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Festival selama empat hari bermula 29 Oktober hingga 1 November lalu di Kuching Waterfront itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi JKKN Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Penganjurannya turut diadakan bersempena Sarawak Regatta – Kuching Waterfront Festival.
Majlis perasmian festival disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Ujar Amran, antara tarikan utama ialah persembahan istimewa Nadi Borneo bertemakan 'Dari Sungai Menyapa Dunia' yang menghimpunkan 88 artis dan peserta daripada pelbagai kumpulan kesenian.
"Persembahan itu menampilkan Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Andrewson Ngalai, Rodriguez Wan, Haziq Rosebi, Syura, Kumpulan Kesenian JKKN serta beberapa kumpulan kesenian masyarakat Iban dan Cina," jelasnya.
Festival itu turut menyaksikan penganjuran Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026 yang menghimpunkan kumpulan dari pelbagai zon di Sarawak selain penyertaan dua pasukan dari Indonesia dan Brunei.
Warih Melanau dari Zon Sibu muncul juara Kategori Bermukun Kumpulan, manakala Warisan Lenggok Berzaman dari Zon Kuching memenangi Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa.
Kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa dimenangi Dua Beranak dari Zon Kuching, sementara Pewaris Telaga Air dari zon sama dinobatkan sebagai juara Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Turut dianjurkan ialah Seminar Kearifan Tempatan pada 29 Oktober dan program Bakat Kenyalang FGS 2026 pada 1 November sebagai sebahagian daripada pengisian festival.