BAGI saya keputusan yang paling menggembirakan dalam pilihan raya pertengahan musim (midterm) di Amerika Syarikat (AS) adalah kemenangan Abdul El-Sayed. Kemenangan itu menjadikan beliau Muslim pertama yang menjadi anggota Senat AS.
Kejayaan politikus berusia 42 tahun itu lebih manis mengambil kira bahawa beliau berhadapan bukan sahaja dengan suasana politik toksik yang dicorakkan oleh penyokong Presiden Donald Trump terhadap orang-orang sepertinya tetapi juga sentimen Islamofobia yang melampau sewaktu berkempen.
Serangan ke atas beliau dan agamanya dilemparkan bukan sahaja oleh musuh-musuh politiknya melalui iklan berbayar, media sosial dan lobi Yahudi yang kuat tetapi daripada Trump dan Timbalannya, JD Vance.
Trump terang-terang menghinanya dengan mengatakan beliau seorang komunis, pengganas malah membayangkan sekiranya menang beliau sepatutnya masuk ke Dewan Senat setelah melalui metal detector.
Untuk mewakili partinya juga bukan mudah. Beliau harus menewaskan Haley Stevens yang merupakan pilihan utama Parti Demokrat. Haley punya pendirian pro-Israel yang melampau. Malah pada saat-saat akhir kempen beliau memberikan sokongan pada lawan El-Sayed, Mike Rogers. Pada waktu sama lobi Pro-Israel, AIPAC membelanjakan jutaan ringgit untuk memastikan kekalahannya.
Kemenangan El-Sayed sama manisnya dengan apa yang berlaku pada Zohrani Kwame Mamdani, Muslim pertama yang menjadi Datuk Bandar New York. Mandani adalah orang kedua menduduki tempat itu yang lahir di luar AS. Beliau lahir di Kampala, Uganda.
Lebih menarik bagi Mamdani, New York yang dicorakkan oleh kehadiran besar dan pengaruh kaum Yahudi yang kuat kali ini membuka diri untuk menerima Mamdani. Malah menurut tinjauan yang dibuat, bagi generasi muda kaum Yahudi di New York, agama Mamdani bukan menjadi isu.
Seperti kempen Mamdani, El-Sayed memberikan perhatian pada isu rakyat yang relevan. Lawannya menyerang peribadinya, beliau memberikan cadangan dan penyelesaian. Seperti banyak calon muda Demokrat yang lain, beliau turun ke padang, menemui pengundi melalui sesi townhall bagi mendengar pandangan dan rintihan mereka. Calon Parti Republikan banyak bergantung pada endorsement Trump dengan rapat besar-besaran dan sokongan gerakan Make America Great Again (MAGA) yang fanatik.
El-Sayed mengecam dasar Trump yang membelanjakan berbilion dolar untuk membantu tentera Israel sedangkan rakyat biasa menghadapi masalah untuk hidup. El-Sayed mencerminkan sikap sebahagian besar pengundi AS apabila beliau menyebutkan dalam ucapan kemenangannya: ”kita mahu cukai yang kita bayar digunakan di sini, untuk sekolah, perlindungan kesihatan dan prasarana. Kita tidak mahu wang kita dihantar untuk dasar apartheid atau terbabit dalam genosid.”
Penolakan terhadap Republikan nampaknya menyeluruh. Wilayah yang selama ini dianggap 'merah' (warna Parti Republikan) bertukar menjadi biru (Demokrat). Paling memeranjatkan adalah tumbangnya Texas, yang selama berdekad menjadi kubu kuat Republikan.
Kali ini bukan sahaja Texas menghantar seorang senator Demokrat ke Washington tetapi Gina Hinojosa menjadi Gabenor dari kaum Latino yang pertama mengalahkan gabenor tiga penggal Greg Abbot dari Parti Republikan.
Parti Republikan hilang kuasa bukan sahaja di Texas tetapi Michigan, Iowa, Kansas, Mississippi, Colorado, South Carolina and North Carolina.
Gelombang biru telah melanda AS. Memang banyak penganalisis membayangkan penolakan ke atas parti Trump tetapi tidak dalam skala sedemikian. Tsunami kali ini membuktikan bahawa kesan daripada tindakan bersekongkol dengan Israel untuk menyerang Iran menyebabkan kos bahan api meningkat dan rakyat menderita. Timbalan Presiden Amerika sendiri mengakui Perang Iran menjadi punca utama kekalahan teruk Parti Republikan.
Sokongan
Satu hakikat yang perlu diberi perhatian adalah sokongan membabi-buta untuk Israel mulai menjadi liabiliti kepada mana-mana parti dan calon. Pimpinan Demokrat sendiri banyak yang pro-Yahudi, tetapi dalam kalangan pimpinan muda yang lebih progresif ada keutamaan yang lebih penting daripada menyokong Israel. Dalam kalangan pengundi muda, isu pekerjaan, perkhidmatan dan kebebasan lebih utama.
Kemenangan besar banyak pemimpin muda Demokrat juga menghantar satu lagi mesej kepada kompeni teknologi (tech companies) yang besar dan pemimpin mereka. Pusat data (data centers) bukan penyelesaian malah punca masalah. AI bukan segala-galanya malah ancaman pada pekerjaan dan kemanusiaan itu sendiri.
Orang-orang kaya tidak boleh sewenang-wenangnya membeli undi. Orang yang dianggap trilionaire pertama di dunia, Elon Musk terpaksa menerima hakikat walaupun membelanjakan hampir setengah bilion dolar untuk membantu calon-calon Republikan, banyak yang tewas. Malah di Texas di mana beliau mencurahkan ratusan juta dolar jatuh ke tangan senator muda berusia 37 tahun bernama James Talarico dari Parti Demokrat.
Apakah implikasi kemenangan besar Demokrat kali ini? Dalam sistem politik AS, Presiden masih ada kuasa veto. Parti Demokrat boleh menggerakkan usaha untuk memastikan pentadbiran ada akauntabiliti. Parti itu boleh juga mencadangkan sekali lagi pemakzulan (impeachment) terhadap Trump. Atau menanyakan pelbagai dasar tidak popular Trump. Sengketa di Senat dan Kongres boleh berterusan dalam banyak hal.
Tetapi Trump juga tidak boleh diambil mudah. Ibarat harimau yang tercedera, beliau boleh menjadi lebih berbahaya. Dasar luar dan agenda perangnya tidak mudah dikekang oleh Senat dan Kongres. Beliau masih boleh menghuru-harakan dunia dengan terus menyerang Iran.
Banyak sekutu AS mengharapkan AS yang lebih waras. Selama pemerintahan Trump, jiran dan sekutu menghadapi banyak masalah. Negara-negara yang berdagang dengan AS menghadapi kadar tarif luar biasa. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini tanpa pimpinan dan arah. Eropah yang selama ini bersama-sama AS, melihat AS dihanyutkan oleh ego dan kepelikan Trump.
Apakah yang akan berlaku selepas ini?
*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, sastera, seni dan budaya