PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Paya Rumput muncul sebagai salah satu kerusi yang paling menarik untuk dianalisis.
Pertandingan tiga penjuru ini mempertemukan Rafie Ahmad, 58, calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan Datuk Azman Abidin daripada PKR-Pakatan Harapan (PH) serta Abdul Rashid Abu Bakar daripada Bersama.
Persaingan ini mempunyai ciri pertembungan David melawan Goliath, sekurang-kurangnya dari segi kedudukan politik dan sokongan kepimpinan nasional.
Azman bukan calon biasa. Beliau merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak.
Sementara Rafie pula seorang usahawan yang sekian lama bergiat dalam kepimpinan Pas dan khidmat masyarakat di kawasan berkenaan.
Penglibatan kepimpinan tertinggi PH dalam kempen Azman bermula lebih awal. Pada 26 Oktober lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, merasmikan bilik gerakan PH DUN Paya Rumput di Krubong.
Program itu turut melibatkan pemimpin PKR seperti Ginie Lim dan Adam Adli Abd Halim.
Perdana Menteri sendiri turun berkempen di Taman Seri Krubong pada 5 November lalu dan menekankan kepentingan memilih wakil rakyat yang mempunyai hubungan langsung dengan Pejabat Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pembangunan.
Pada 8 November, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut hadir memberikan sokongan kepada Azman serta menggesa jentera PKR memperhebat usaha mendekati pengundi.
Kehadiran pemimpin berprofil tinggi itu menggambarkan kepentingan politik Paya Rumput kepada PH. Ia turut memperlihatkan kapasiti mobilisasi kempen dan sumber kewangan yang besar.
Dalam keadaan sedemikian, persoalan menarik ialah sejauh mana kelebihan jaringan kuasa di Putrajaya dapat diterjemahkan kepada keyakinan pengundi di peringkat tempatan.
Rafie bukan calon baharu di Paya Rumput
Berbeza dengan Azman yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, Rafie sudah mempunyai pengalaman sebagai calon Pas di Paya Rumput pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Ketika itu, beliau memperoleh 1,552 undi atau 7.2 peratus dalam pertandingan yang dimenangi Mohd Rafiq Naizamohideen daripada Bersatu-PH.
Walaupun keputusan tersebut menunjukkan keterbatasan sokongan Pas pada 2018, penglibatan Rafie bukan bermula menjelang PRN kali ini.
Berasal dari Lubok China, beliau telah menetap di sekitar Paya Rumput hampir tiga dekad dan terlibat dalam kegiatan politik serta kemasyarakatan sejak sekian lama.
Beliau pernah membantu menubuhkan Pas Cawangan Cheng dan kini merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Tangga Batu. Lebih penting, selepas kemenangan Bakri Jamaluddin sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu pada PRU15, Rafie diberikan tanggungjawab membangunkan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu.
Beliau bukan sekadar membantu penubuhan pusat khidmat tersebut, malah turut menguruskan operasinya, merancang program, mendapatkan sumber kewangan dan menyelaraskan bantuan kepada penduduk.
Pengalaman ini perlu dibezakan daripada sekadar pengalaman berkempen. Menguruskan pusat khidmat memerlukan pengetahuan mengenai prosedur pentadbiran, penyelarasan dengan agensi kerajaan, penyelesaian aduan dan keupayaan mendapatkan sumber bagi membantu masyarakat.
Rekod tersebut memberikan asas kepada penilaian terhadap keupayaan Rafie melaksanakan tugas perkhidmatan awam di peringkat kawasan, meskipun beliau belum pernah menjadi ADUN.
Pengalaman korporat dan pendidikan tinggi
Satu lagi dimensi penting ialah kelayakan akademik serta pengalaman profesional Rafie yang mungkin kurang diketahui oleh masyarakat di luar Tangga Batu.
Rafie bukan sahaja memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Asia e University, malah turut memiliki satu lagi ijazah sarjana, iaitu Sarjana Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau dijadualkan menerima ijazah tersebut dalam majlis konvokesyen pada 5 Disember depan. Selain itu, beliau juga mempunyai kelayakan Executive Master in Management, latihan teknikal dalam bidang pemeriksaan gas di Vancouver, Kanada serta Diploma Tasawur Islam daripada ILHAM.
Kerjayanya bermula sebagai penyelia pengeluaran di Sony TV, Bangi, pada 1990 sebelum menceburi bidang jualan teknikal, instrumentasi dan peralatan industri.
Beliau kemudiannya berkhidmat dengan Transwater API, Hexamas dan Burgmann Malaysia sebelum menjadi Pengarah Menara Cekal Sdn. Bhd. sejak 1999.
Perniagaannya melibatkan pembekalan peralatan mekanikal, instrumentasi dan keselamatan serta pengurusan projek untuk pelanggan industri, termasuk sektor minyak dan gas.
Gabungan pengalaman teknikal, pengurusan syarikat, hubungan pelanggan dan pelaksanaan projek memberikan beliau pendedahan terhadap operasi ekonomi sebenar, khususnya cabaran perniagaan dan industri.
Latar belakang ini amat relevan dalam konteks Paya Rumput yang merangkumi kawasan perumahan yang berkembang pesat, pusat perniagaan, kawasan industri, kampung tradisional serta komuniti pekerja.
Penglibatan masyarakat sebelum menjadi calon
Selain kerjaya korporat, Rafie pernah menjadi Pengerusi Masjid Ar-Rahman, Tanah Merah, Krubong, Timbalan Pengerusi Surau Al-Qadr serta terlibat dalam pentadbiran SRITI Al-Fattah dan PASTI Al-Islah.
Beliau kini menerajui NGO Prihatin Melaka yang menjalankan kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Pelbagai kegiatan kempen beliau dapat dilihat melalui catatan Facebooknya, termasuk ziarah pesakit, agihan kit makanan kepada asnaf, program penukaran minyak hitam percuma untuk belia, sarapan bersama penduduk, kunjungan ke pasar malam dan pertemuan dengan peniaga pelbagai kaum di Cheng Avenue.
Dalam satu hantaran, beliau menyatakan, “Saya tak mahu jadi calon yang hanya muncul di poster.” Beliau turut menekankan perlunya perkhidmatan yang mudah dihubungi, cepat bertindak dan tidak menyusahkan rakyat yang sudah sibuk mencari rezeki.
Pendekatan ini selari dengan perhatian Rafie terhadap isu kesesakan lalu lintas, banjir kilat, sistem saliran dan keperluan kemudahan awam susulan pertambahan kawasan perumahan.
Rafie juga dilaporkan pernah mengadakan perbincangan dengan pemaju serta agensi berkaitan supaya pembangunan baharu tidak membebankan sistem perparitan dan infrastruktur sedia ada.
Pendekatan beliau lebih menumpukan kesinambungan penyelesaian masalah dan penyelarasan pembangunan dengan pertambahan penduduk.
Keperibadian Rafie: Amanah, rendah diri dan keluarga sebagai kekuatan
Di sebalik pengalaman korporat dan kelayakan akademiknya, sisi peribadi Rafie turut menarik perhatian. Dalam wawancara bersama HarakahDaily, beliau mengakui lebih selesa bekerja di belakang tabir dan membantu orang lain daripada mengejar kedudukan politik.
Malah, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan pencalonannya kepada kepimpinan parti.
Bagi Rafie, jawatan bukan sesuatu yang perlu diminta-minta, sebaliknya amanah yang mesti dilaksanakan apabila diberikan kepercayaan.
Prinsip itu turut tercermin dalam catatan Facebooknya sempena Hari Integriti Nasional: “Kepercayaan bukan sesuatu yang boleh diminta, tetapi perlu dibina dan dipelihara melalui perbuatan.”
Lebih menyentuh hati ialah hubungan rapatnya dengan keluarga. Bapa kepada lima anak ini mengakui bahawa isteri dan anak-anak merupakan sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan hidup dan politiknya.
Menurut laporan HarakahDaily, isterinya berhenti bekerja sejak 2009 atas faktor kesihatan, menyebabkan Rafie memikul tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama keluarga sambil menguruskan perniagaan yang tidak sentiasa menjanjikan pendapatan tetap.
Apabila menerima tawaran menjadi calon, beliau mendapatkan pandangan anak sulungnya yang bertugas di JAKIM sebelum menunaikan solat istikharah sebanyak tiga kali.
Dalam hantaran Facebook pada hari penamaan calon, beliau berkongsi detik menerima salam dan kucupan kasih daripada isterinya sambil menulis, “Doamu menjadi kekuatan, kasihmu menjadi semangat.”
Rafie turut mengakui bahawa beliau biasanya gemar bersarapan dan makan bersama isteri serta anak-anak, namun terpaksa mengurangkan masa bersama mereka sepanjang tempoh kempen.
Pemikiran Rafie juga banyak dipengaruhi nilai keagamaan, tanggungjawab sosial dan konsep keberkatan. Walaupun sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia perniagaan, beliau berpandangan bahawa kejayaan material tidak membawa makna sepenuhnya jika tidak memberikan manfaat kepada masyarakat.
Dalam wawancara bertajuk “Rafie: Keberkatan, kebajikan rakyat jadi agenda utama”, beliau menceritakan pengalaman turun naik perniagaan dan keyakinannya bahawa membantu orang lain merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kehidupan.
Dalam Facebook pula, beliau menegaskan bahawa ilmu membantu seseorang memahami masalah, pengalaman membantu mencari penyelesaian, manakala amanah mengingatkan seseorang tentang tujuan dan pihak yang diwakilinya.
Pendekatan tersebut diterjemahkan melalui hasrat memudahkan urusan rakyat yang sibuk mencari rezeki, bukannya membiarkan mereka terpaksa berulang-alik untuk mendapatkan bantuan.
Pandangan mengenai keperibadiannya turut disuarakan oleh individu yang pernah bekerja rapat dengannya.
Ramlan Ahmad, penyelaras Parlimen Tangga Batu bagi DUN Pantai Kundor, menyifatkan Rafie sebagai seorang yang mudah bersimpati dan sanggup berusaha mendapatkan dana untuk membeli komputer riba bagi pelajar miskin.
Seorang lagi kakitangan pusat khidmat, Anuarul Kamil Mohammed Sauffee, menggambarkan beliau sebagai individu yang tenang tetapi tegas, mudah dibawa berbincang serta mengambil berat tentang kebajikan kakitangan, termasuk ketika mereka sakit.
Penilaian individu terdekat ini memberikan gambaran mengenai gaya kepimpinannya, meskipun keberkesanannya dalam jawatan politik hanya boleh dinilai berdasarkan prestasi sebenar sekiranya diberikan mandat.
Bagi Rafie sendiri, amanah kepimpinan bukan semata-mata tentang kedudukan atau kuasa, tetapi tentang bagaimana ilmu, pengalaman dan keprihatinan dapat diterjemahkan kepada kehidupan masyarakat yang lebih baik.
Sokongan pemimpin UMNO dan jentera BN
Kerjasama Pas-BN merupakan satu lagi dimensi penting dalam kempen Rafie. Antara perkembangan yang paling ketara ialah kesediaan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, turun membantu beliau berkempen di Cheng Garden Avenue.
Menurut laporan Harian Metro pada 2 November, Nor Azman menjelaskan bahawa hubungan persahabatan lama dengan Rafie serta kerjasama politik kedua-dua gabungan mendorong beliau menyertai kegiatan kempen tersebut.
Pada 31 Oktober, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad, dan pemimpin UMNO Tangga Batu, Datuk Wira Sazali Muhd Din, turut disenaraikan dalam ceramah bersama Rafie di Taman Rambai Jaya.
Sazali, yang juga bekas ADUN Paya Rumput, muncul dalam beberapa program ceramah kelompok dan kegiatan turun padang bersama jentera PN.
Turut terlibat ialah Abdul Shukur, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tangga Batu; Syed Asfarizal Syed Salim dan Haji Khairudin dalam program ceramah; serta penceramah UMNO Perak seperti Nazmi Md Zain dan Hasri Abdul Karim.
Menariknya, pendekatan Rafie tidak terbatas kepada kerjasama Pas-UMNO semata-mata. Pada 3 November, beliau turut mengadakan pertemuan dan perbincangan santai dengan Ketua Bahagian MCA Tangga Batu, sekali gus memperlihatkan usaha membina hubungan dengan kepimpinan parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina.
Rafie juga menyantuni peniaga dan penduduk pelbagai kaum di Cheng Avenue. Dalam catatan Facebooknya, beliau menegaskan bahawa Paya Rumput merupakan rumah bersama seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Hubungan merentas kaum ini turut diperlihatkan melalui pertemuan Rafie dengan masyarakat India di Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu, yang turut disertai Dr Balachandran, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat.
Dalam pertemuan tersebut, beliau beramah mesra, bertukar pandangan dan mendengar sendiri suara masyarakat India.
Rafie turut menyampaikan ucapan awal Deepavali ketika bertemu masyarakat berkenaan, sebelum berkongsi ucapan perayaan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil melalui Facebook.
Menurutnya, perbezaan bangsa, budaya dan agama tidak seharusnya menghalang hubungan baik serta sikap saling menghormati.
Laporan The Star pada 3 November bertajuk “BN’s groundwork opens doors for PN’s Rafie” turut memberikan perhatian kepada kerjasama ini.
Rafie mengakui bahawa program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama-sama usaha penyandang terdahulu, Datuk Rais Yasin, menyediakan asas untuk meneruskan penyelesaian isu penduduk.
Malah, Rafie turut menyatakan bahawa penyelarasan kempen melibatkan UMNO, MCA dan MIC berjalan dengan baik.
Secara keseluruhannya, perkembangan ini menunjukkan kerjasama yang nyata antara jentera Pas dan BN, di samping usaha Rafie mendekati masyarakat Melayu, Cina dan India.
Daripada pembangunan ekonomi kepada kepada kebajikan rakyat
Satu lagi aspek yang wajar diberikan perhatian ialah enam tawaran yang dikemukakan Rafie bagi DUN Paya Rumput. Berbeza daripada janji pembangunan berskala besar, tawaran tersebut menumpukan keperluan khusus masyarakat, meliputi pembangunan usahawan kecil, latihan digital untuk wanita, kemudahan rekreasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang pekerjaan untuk belia, tuisyen percuma dan sistem aduan rakyat.
Menurut Rafie, setiap tawaran mempunyai objektif dan kumpulan sasaran yang berbeza, sekali gus memperlihatkan usaha menghubungkan agenda pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan keluarga dan keberkesanan perkhidmatan masyarakat.
Tawaran pertama, iaitu pembangunan usahawan kecil, berkait rapat dengan pengalaman Rafie lebih tiga dekad dalam sektor industri dan perniagaan.
Paya Rumput mempunyai kawasan perindustrian, pusat perdagangan dan perusahaan kecil yang berpotensi menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk.
Pengalaman beliau dalam pengurusan syarikat, pemasaran dan hubungan industri boleh dimanfaatkan untuk membantu peniaga memahami pengurusan kewangan, pemasaran produk serta jaringan perniagaan.
Tawaran kedua, iaitu latihan digital untuk wanita, pula menyentuh keperluan memperkasakan ekonomi isi rumah, khususnya golongan suri rumah, ibu tunggal dan wanita yang ingin menjana pendapatan tanpa meninggalkan tanggungjawab keluarga.
Latihan pemasaran dalam talian, penggunaan platform e-dagang dan pengurusan perniagaan digital merupakan antara pendekatan pelaksanaan yang boleh dipertimbangkan.
Sementara itu, tawaran ketiga mengenai kemudahan rekreasi berkait dengan pertambahan kawasan perumahan dan keperluan menyediakan ruang riadah yang selamat, mesra keluarga serta sesuai untuk kanak-kanak dan warga emas.
Tawaran keempat, iaitu TVET dan peluang pekerjaan untuk belia, mempunyai kepentingan tersendiri kerana Paya Rumput merupakan kawasan yang mempunyai kegiatan industri, tetapi masih berdepan persoalan berkaitan peluang pekerjaan dan tahap pendapatan.
Dengan pengalaman Rafie dalam sektor teknikal, minyak dan gas serta pengurusan korporat, program latihan kemahiran boleh dihubungkan dengan keperluan sebenar majikan tempatan. Pendekatan seperti latihan bersama industri, penempatan pekerjaan dan peningkatan kemahiran berpotensi memberikan laluan kerjaya kepada golongan muda.
Tawaran kelima, iaitu tuisyen percuma, memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak daripada keluarga yang menghadapi kekangan kewangan, khususnya golongan B40.
Program sedemikian boleh membantu mengurangkan perbelanjaan pendidikan keluarga sekiranya dilaksanakan secara tersusun dengan sokongan guru, sukarelawan dan institusi pendidikan setempat.
Tawaran keenam, iaitu sistem aduan rakyat, pula mempunyai hubungan langsung dengan pengalaman Rafie menguruskan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu. Sistem yang mudah diakses, mempunyai rekod aduan, pegawai penghubung dan mekanisme pemantauan boleh membantu mempercepat penyelarasan penyelesaian masalah penduduk dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
Dalam konteks Paya Rumput, sistem aduan sedemikian amat relevan dengan masalah banjir kilat, saliran dan kesesakan trafik yang turut dibangkitkan Rafie sebelum ini.
Beliau pernah menekankan keperluan mengenal pasti kawasan berisiko banjir, memeriksa sistem saliran secara berkala serta menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru, sistem aduan yang dicadangkan boleh menjadi saluran untuk memantau tindakan susulan.
Secara keseluruhannya, enam tawaran Rafie menggabungkan tiga dimensi pembangunan, iaitu pengukuhan ekonomi isi rumah, pembangunan modal insan dan penambahbaikan perkhidmatan komuniti. Tawaran tersebut juga mempunyai perkaitan dengan pengalaman profesional dan kegiatan kemasyarakatannya.
Komposisi pengundi dan cabaran pemindahan undi
Paya Rumput mempunyai 46,521 pemilih bagi PRN 2026, menjadikannya antara DUN terbesar di Melaka. Berdasarkan data semasa, kira-kira 62.4 peratus pemilih terdiri daripada masyarakat Melayu, 28.9 peratus Cina dan 6.1 peratus India.
Pemilih berusia 18 hingga 39 tahun pula merangkumi sekitar 56.8 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Komposisi ini menunjukkan pentingnya isu pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, trafik, pendidikan, keselamatan dan kemudahan komuniti.
Pengalaman korporat serta pendidikan tinggi Rafie menyediakan latar belakang yang relevan untuk membincangkan isu tersebut, sekali gus berpotensi memudahkan penerimaannya dalam kalangan pengundi muda dan masyarakat pelbagai kaum.
Berdasarkan keputusan PRN 2021, BN memenangi Paya Rumput melalui Datuk Rais Yasin dengan 6,830 undi, berbanding PH sebanyak 6,201 undi dan PN sebanyak 3,972 undi. Jumlah undi BN dan PN mencecah 10,802 undi, iaitu 4,601 undi lebih banyak berbanding PH.
Bagaimanapun, angka ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Jumlah pemilih kini bertambah sebanyak 20,066 orang berbanding 26,455 orang pada 2021.
Tambahan pula, calon, gabungan dan keadaan politik sudah berubah. Justeru, jentera PN dan BN masih perlu bekerja keras bagi memastikan sebahagian besar undi BN dapat dipindahkan kepada calon Pas.
Calon payung terjun: Dari Putrajaya ke Paya Rumput
Walaupun dilahirkan di Kuala Linggi, Melaka, Azman boleh dilihat sebagai calon payung terjun dari sudut penglibatan politik setempat kerana sebahagian besar kerjaya profesional dan politiknya dibina di luar negeri kelahirannya.
Selepas bersekolah di Kuala Sungai Baru, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan menghabiskan lebih 20 tahun dalam industri pasaran modal sebelum menceburi politik sepenuh masa.
Azman pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, dari 2012 hingga 2014, sebelum memegang jawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Beliau juga merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menariknya, Azman sendiri mengakui bahawa pencalonannya di Paya Rumput dibuat atas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gerak kerja kempen PH diperkukuh menerusi perasmian bilik gerakan pada 26 Oktober yang melibatkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Namun begitu, kedudukan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri tidak semestinya menjadikan seseorang calon dikenali secara dekat oleh masyarakat di kawasan yang baharu ditandinginya.
Malah, laporan Suara Keadilan sendiri mengakui bahawa masih terdapat pengundi yang belum mengenali Azman secara dekat.
Pada 9 November, Azman turut menyatakan bahawa beliau sedang berusaha mengunjungi semua kawasan di Paya Rumput bagi memperkenalkan dirinya dan mendapatkan kepercayaan penduduk.
Keadaan ini memperlihatkan cabaran yang perlu dihadapi oleh calon yang mempunyai pengaruh politik nasional tetapi masih dalam proses membina hubungan langsung dengan masyarakat setempat.
Dalam tempoh kempen yang singkat, Azman mengemukakan pelbagai tawaran, termasuk pembinaan rumah mampu milik, peluasan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelesaian masalah banjir serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyelaraskan lampu isyarat dan mengurangkan kesesakan.
Beliau turut menonjolkan hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan agensi Persekutuan sebagai kelebihan untuk mempercepat pembangunan.
Bagaimanapun, persoalan penting ialah sejauh mana janji tersebut disertai perancangan pelaksanaan, peruntukan yang jelas dan kefahaman mendalam terhadap masalah yang telah lama dihadapi penduduk Paya Rumput.
Perbandingan dengan Rafie memperlihatkan perbezaan latar belakang dan pengalaman kedua-dua calon. Rafie telah menetap di kawasan Paya Rumput hampir 30 tahun, pernah bertanding di DUN berkenaan pada 2018 serta terlibat dalam pengurusan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu selepas PRU15.
Azman pula mempunyai pengalaman dalam pentadbiran politik dan jaringan kerajaan Persekutuan yang lebih luas.
Pertembungan ini akhirnya menimbulkan persoalan sama ada pengundi lebih mengutamakan pengalaman khidmat setempat atau keupayaan calon memanfaatkan hubungan dengan pusat pentadbiran negara, selain menilai kewibawaan, tawaran dasar dan rekod masing-masing.
Bersama dan persaingan terhadap undi tradisi PH
Kehadiran Abdul Rashid Abu Bakar daripada Bersama menambahkan satu lagi unsur dalam pertandingan ini. Beliau bukan calon tanpa pengalaman politik, sebaliknya seorang peguam syarie yang pernah menjadi Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan Pusat antara 2018 hingga 2025 sebelum menyertai Bersama pada Mei 2026.
Latar belakangnya dalam PKR membuka kemungkinan bahawa beliau mempunyai hubungan dengan sebahagian jaringan politik dan penyokong yang pernah bersama PH.
Oleh itu, pertandingan tiga penjuru boleh menghasilkan persaingan untuk mendapatkan undi daripada kelompok yang sama.
Walaupun Abdul Rashid mungkin boleh menarik pengundi baharu, pengundi atas pagar atau pengundi daripada gabungan lain berdasarkan kewibawaan dirinya, terdapat kemungkinan bahawa sebahagian undi yang diperolehnya datang daripada mereka yang pernah menyokong PH.
Keadaan ini boleh menambah cabaran kepada Azman dalam persaingan mendapatkan sokongan pengundi.
Potensi peranan dalam pentabiran negeri
Seperti Muhammad Ridzuan Mohd Sarif di Bukit Katil yang mempunyai latar profesional dalam bidang kesihatan awam, Rafie Ahmad menawarkan pengalaman berbeza dalam bidang perniagaan, pengurusan korporat, perindustrian dan kebajikan masyarakat.
Pengalamannya menguruskan syarikat selama lebih dua dekad, memiliki kelayakan akademik sehingga peringkat sarjana serta terlibat secara langsung dalam pengurusan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu memberikan asas untuk menilai pengalaman pentadbiran dan kepimpinannya.
Sekiranya Rafie dipilih sebagai ADUN dan gabungannya membentuk kerajaan negeri, pengalaman tersebut boleh menjadi asas pertimbangan bagi portfolio EXCO seperti pembangunan usahawan, pelaburan, perindustrian, ekonomi atau pembangunan komuniti.
Gabungan pengetahuan teknikal, pengalaman pengurusan projek dan penglibatan kemasyarakatan merupakan antara kelayakan yang relevan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Akhirnya, analogi David melawan Goliath menggambarkan perbezaan pengaruh institusi dan sokongan kepimpinan nasional yang diterima oleh kedua-dua calon.
Azman mempunyai hubungan langsung dengan Putrajaya serta sokongan terbuka Perdana Menteri dan kepimpinan tertinggi PH, manakala Rafie membawa rekod hampir tiga dekad menetap di kawasan berkenaan, pengalaman menguruskan khidmat masyarakat dan hubungan dengan jentera Pas-BN.
Faktor-faktor ini menyediakan asas persaingan yang menarik. Berdasarkan pemerhatian terhadap perkembangan di peringkat akar umbi sejak kempen bermula, penulis berpandangan bahawa Rafie mempunyai peluang untuk meraih kemenangan.
Jika perkara itu berlaku, pengundi Paya Rumput bakal mempunyai seorang wakil rakyat yang diharapkan dapat membawa suara mereka dan membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan setempat.
*Aizuddinur Zakaria ialah Penganalisis Politik dan Profesor Adjung di Kolej Universiti TATI
.