Merealisasikan potensi ekonomi dunia Islam yang masih terpendam

Iklan
Tengku Zafrul ketika menjadi ahli panel B57 Business Leaders’ Summit 2026 di Istanbul, Türkiye. Foto FB Tengku Zafru

PADA Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan B57+ di Istanbul, Türkiye baru-baru ini, saya berpeluang bertemu dan bertukar pandangan dengan pemimpin perniagaan, pelabur dan penggubal dasar dari seluruh dunia Islam.

Perbincangan kami tertumpu pada satu persoalan penting: bagaimanakah kita dapat menggembleng sumber ekonomi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk meningkatkan kemakmuran rakyat?

Iklan
Iklan

Sebanyak 57 negara anggota OIC merangkumi lebih dua bilion penduduk, iaitu kira-kira suku daripada penduduk dunia. Secara keseluruhan, negara-negara ini mencatatkan keluaran ekonomi sekitar AS$10 trilion. Pada 2025, ekonomi mereka berkembang 4.1 peratus, mengatasi purata global.

Asas ekonomi ini cukup kukuh. Dunia Islam memiliki modal yang besar, sumber asli yang melimpah, populasi muda, kedudukan geografi yang strategik dan keupayaan perindustrian yang semakin canggih.

Iklan

Apa yang menarik perhatian saya bukan sahaja potensinya yang luar biasa, tetapi juga hakikat bahawa sebahagian besar potensi tersebut masih belum direalisasikan.

Cabaran utamanya ialah keupayaan kolektif kita untuk menterjemahkan potensi ini kepada peningkatan perdagangan, pelaburan produktif dan kemakmuran yang dapat dinikmati secara saksama oleh semua.

Iklan

Gergasi ekonomi yang masih kurang terhubung

Satu angka cukup untuk menggambarkan cabaran ini. Menurut Pusat Islam untuk Pembangunan Perdagangan, perdagangan antara negara anggota OIC pada 2025 berjumlah AS$979 bilion, iaitu hanya 19.57 peratus daripada keseluruhan perdagangan antarabangsa negara anggota, jauh di bawah sasaran 25 peratus yang ditetapkan oleh OIC sendiri.

Ini bermakna kira-kira 80 peratus perdagangan negara anggota melibatkan rakan dagang di luar OIC.

Tiada salahnya mempelbagaikan rakan kongsi, malah ia kekal penting bagi kemajuan ekonomi. Namun, angka ini menunjukkan bahawa dunia Islam masih belum memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ekonominya yang saling melengkapi, termasuk sumber kewangan yang besar, keupayaan perindustrian termaju, pasaran pengguna yang semakin berkembang dan modal insan yang besar.

Bayangkan peluang yang boleh diwujudkan jika kekuatan ini dihubungkan dengan lebih baik melalui rantaian bekalan bersepadu, usaha sama perindustrian dan perkongsian komersial yang lebih kukuh.

Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan perdagangan sesama negara anggota OIC, tetapi juga menjana nilai ekonomi yang lebih besar melalui kerjasama tersebut.

Inisiatif sedia ada seperti Sistem Keutamaan Perdagangan dalam kalangan Negara Anggota OIC menyediakan asas yang penting. Namun, perjanjian sebegini mesti membawa hasil yang nyata melalui ketersambungan yang lebih baik, pengurangan halangan perdagangan, piawaian yang diselaraskan dan rangkaian perniagaan yang lebih kukuh.

Modal tersedia, peluang perlu dicipta

Angka pelaburan juga memberikan gambaran penting. Pelaburan langsung asing (FDI) ke negara anggota OIC meningkat daripada AS$148 bilion pada 2021 kepada AS$220 bilion pada 2025.

Namun, momentum pertumbuhan itu semakin perlahan pada 2025, apabila aliran masuk hanya meningkat 0.6 peratus dan bahagian OIC dalam FDI global merosot kepada 13.5 peratus.

Bagi gabungan negara yang mewakili satu perempat penduduk dunia, pencapaian ini masih boleh dipertingkatkan dengan ketara. Dana kekayaan berdaulat, pelabur institusi dan perniagaan swasta di seluruh dunia Islam secara kolektif menguasai modal yang besar.

Yang sering menjadi kekangan ialah kekurangan projek yang benar-benar berdaya maju untuk dibiayai, institusi yang diyakini, kepastian dari segi peraturan serta mekanisme yang berkesan untuk menghubungkan pelabur dengan peluang pelaburan.

Di sinilah kerjasama OIC perlu menjadi lebih berani dalam aspirasinya dan lebih praktikal dalam pelaksanaannya.

Kita harus meneroka platform pelaburan bersama yang lebih mantap melibatkan dana kekayaan berdaulat, institusi pembangunan dan pelabur swasta, khususnya dalam infrastruktur, tenaga boleh baharu, teknologi digital, penjagaan kesihatan dan keselamatan makanan.

Kewangan Islam, termasuk sukuk, juga boleh memainkan peranan lebih besar dalam menggembleng modal jangka panjang bagi pelaburan yang produktif. 

Kita juga perlu memperluas perkongsian teknologi, kepakaran, inovasi dan keupayaan pengeluaran.

Kejayaan sesuatu pelaburan bukan hanya diukur berdasarkan nilai wang semata-mata, tetapi juga melalui kesan limpahan ekonomi positif yang dihasilkannya: pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi, rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh dan peluang untuk perniagaan tempatan. 

Peluang Malaysia dalam dunia yang berubah

Bagi Malaysia, potensi OIC yang belum dimanfaatkan sepenuhnya ini membuka peluang strategik yang penting.

Sebagai anggota OIC dan ASEAN, Malaysia mempunyai kedudukan strategik sebagai penghubung antara dunia Islam dan salah satu rantau ekonomi paling dinamik di dunia.

Dengan kira-kira 680 juta penduduk, ASEAN menarik FDI berjumlah AS$243.9 bilion pada 2025, satu rekod baharu.

Ekosistem pembuatannya yang semakin berkembang, pasaran pengguna yang semakin luas dan integrasinya dalam rantaian bekalan global menawarkan peluang yang besar kepada pelabur OIC.

Malaysia boleh menjadi pintu masuk penting bagi modal dari negara anggota OIC untuk dilaburkan di ASEAN, di samping membantu perniagaan Malaysia berkembang ke pasaran baharu.

Kekuatan kita dalam semikonduktor, pembuatan termaju, industri halal, kewangan Islam dan peralihan tenaga menjadi asas kukuh bagi kerjasama yang saling melengkapi.

Perkongsian sebegini akan mempelbagaikan sumber pelaburan Malaysia, meluaskan akses pasaran dan mengukuhkan daya tahan ekonomi kita.

Hal ini amat penting ketika persaingan geopolitik semakin sengit dan corak perdagangan global semakin sukar dijangka. Kita tidak mampu terlalu bergantung pada mana-mana satu pasaran, sumber pelaburan atau hubungan ekonomi. 

Inilah sebabnya libat urus berterusan dengan pemimpin perniagaan dan pelabur di seluruh dunia Islam amat penting.

Sebagai bekas Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, saya menyaksikan sendiri bagaimana keputusan pelaburan sering didahului oleh libat urus, rundingan dan usaha membina hubungan selama berbulan-bulan, malah bertahun-tahun. MITI, MIDA dan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini.

Hubungan dan kepercayaan mengambil masa untuk dibina. Berbeza dengan pelaburan yang berjaya direalisasikan, usaha membina hubungan dan kepercayaan ini jarang mendapat perhatian media.

Dalam dunia yang berubah pantas, Malaysia mesti terus memulakan perbincangan baharu dan meneruskan hubungan sedia ada dengan sebanyak mungkin negara serta komuniti perniagaan.

Perbincangan hari ini dengan penggubal dasar, pemimpin perniagaan atau pelabur institusi mungkin membuka peluang pelaburan pada masa hadapan.

Pengalaman ekonomi Malaysia sendiri mengukuhkan pengajaran ini. Sepanjang empat tahun lalu, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar yang lebih konsisten, hala tuju yang lebih jelas serta pembaharuan institusi telah mengukuhkan keyakinan pelabur.

Anggaran awal menunjukkan ekonomi kita berkembang 5.5 peratus dalam sembilan bulan pertama 2026, manakala FDI bersih meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025.

Hasil ini menunjukkan kepentingan hala tuju ekonomi yang jelas dan institusi yang berwibawa dalam mengharungi ketidaktentuan global. Pengalaman inilah yang saya kongsikan dengan rakan-rakan dari negara anggota OIC di Istanbul, sambil belajar daripada kejayaan mereka.

Menterjemahkan potensi kepada kehidupan yang lebih baik

Sudah tentu, OIC tidak seharusnya bercita-cita menjadi blok ekonomi yang hanya menumpukan perhatian kepada pasaran sesama anggotanya.

Sebaliknya, matlamat yang lebih besar ialah memperkukuh kerjasama antara anggota sambil menjadikan OIC pemain yang lebih berdaya saing dan berpengaruh dalam ekonomi global.

Dunia Islam sudah memiliki kekuatan dari segi jumlah penduduk, modal, pasaran dan sumber untuk menjadi kuasa ekonomi yang hebat. Apa yang diperlukan sekarang ialah mengubah potensi kepada produktiviti, modal kepada keupayaan, dan perkongsian ekonomi kepada kemakmuran yang berkekalan serta memberi manfaat kepada rakyat biasa. 

Kemakmuran itu juga mesti dikongsi sesama negara anggota OIC, memandangkan pendapatan per kapita mereka berbeza jauh, daripada serendah AS$400 di sesetengah negara hingga kira-kira AS$70,000 di negara lain.

Kewangan sosial Islam, daripada zakat hingga Dana Solidariti Islam untuk Pembangunan yang berasaskan wakaf di bawah Bank Pembangunan Islam, boleh menyalurkan kekayaan dunia Islam kepada mereka yang tercicir.

Bagi Malaysia, mempererat hubungan dengan negara-negara dunia Islam juga bermakna mewujudkan peluang ekonomi baharu, mempelbagaikan rakan kongsi kita dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia yang berubah pantas.

Peluangnya sangat besar. Tanggungjawab kita kini ialah merealisasikannya. 

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)