Hilang jerebu, timbul banjir

Iklan
Kawasan Seksyen 13, Seksyen 22 dan Kampung Melayu Subang juga antara lokasi terkesan. Foto fail Bernama

PAGI yang sepatutnya bermula dengan rutin biasa bertukar kecoh apabila beberapa kawasan sekitar Lembah Klang berdepan situasi banjir susulan hujan lebat awal pagi Rabu.

Belum sempat matahari menunjukkan wajah, ada yang terpaksa mengubah laluan perjalanan, berpatah balik, mencari jalan alternatif untuk ke tempat kerja dan sekolah.

Iklan
Iklan

Laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dengan Subang terjejas sehingga beberapa lorong terpaksa ditutup.

Kawasan Seksyen 13, Seksyen 22 dan Kampung Melayu Subang juga antara lokasi terkesan.

Iklan

Pendek kata, pagi semalam bukan lagi soal mahu mengelak kesesakan lalu lintas, tetapi bagaimana mengelak daripada meredah air!

Merak Jalanan melihat keadaan itu sebagai satu lagi peringatan bahawa cuaca di negara kita semakin sukar dijangka.

Iklan

Belum selesai rakyat menarik nafas lega daripada episod jerebu rentas sempadan sejak beberapa minggu lalu, kini hujan lebat dan banjir kilat pula menjadi ujian.

Ironinya, hujan yang diharapkan membantu membersihkan udara daripada partikel jerebu, membawa masalah lain apabila turun dengan lebat dalam tempoh singkat.

Kejadian banjir di Lembah Klang ini tidak sepatutnya dilihat sebagai gangguan perjalanan semata-mata.

Ia mengingatkan kita tentang pentingnya sistem saliran yang berkesan, penyelenggaraan sungai, pemantauan kawasan berisiko serta tindakan pantas pihak berkuasa.

Merak Jalanan berharap isu ini bukan sekadar bahan perbualan hangat di media sosial setiap kali air naik dan jalan ditutup.

Janganlah setiap kali jerebu, kita sibuk mencari udara bersih. Apabila banjir, tercari-cari pula jalan yang tidak ditenggelami air.