Banjir uji ketabahan penduduk Gaza

Iklan
Beberapa wanita meredah hujan di Bandar Gaza bagi mendapatkan makanan untuk mengalas perut ahli keluarga mereka. Foto: AFP

GENTING GAZA - Hujan lebat melanda Genting Gaza menyebabkan khemah dan tempat berlindung sementara penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal kembali ditenggelami banjir.

Dalam tempoh singkat, hujan lebat dan angin kencang dibawa ribut musim sejuk memusnahkan sebahagian besar khemah usang. Bencana itu turut meragut sekurang-kurangnya lima nyawa termasuk empat kanak-kanak dan mencederakan sejumlah mangsa.

Iklan
Iklan

Pengarah Serantau Save the Children International, Ahmad Alhendawi menyifatkan keadaan itu sebagai menyayat hati dan tidak mengejutkan memandangkan bencana seumpama itu terus berulang sejak rejim Zionis melancarkan kempen pencerobohan ganas ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Seorang wanita membersihkan khemah yang menjadi tempat berlindung keluarganya di kawasan kejiranan al-Remal di tengah Gaza. Foto: AFP

Iklan

Menurutnya, kakitangan organisasi itu di Gaza melaporkan air banjir memasuki khemah dan menenggelamkan 'bandar khemah' ketika kebanyakan keluarga sedang nyenyak tidur pada akhir minggu lalu.

“Ramai kanak-kanak menggigil kesejukan kerana tiada pakaian musim sejuk. Bantuan penting seperti khemah, kit perlindungan dan bekalan bahan api masih terkandas di sempadan Gaza kerana sekatan pihak berkuasa Israel.

Iklan

"Penduduk Palestin tiada perlindungan sewajarnya untuk menghadapi cuaca buruk menjelang ketibaan musim sejuk,” ujarnya.

Seorang lelaki berusaha mengalirkan air berlumpur di laluan antara khemah-khemah yang ditenggelami banjir. Foto: AFP

Ketika ini, beberapa agensi bantuan antarabangsa turut menggesa penghantaran bantuan kecemasan segera kepada penduduk Gaza.

Hujan berterusan dan angin kencang yang melanda wilayah itu sejak Jumaat lalu mengakibatkan kira-kira 70,000 khemah ditenggelami banjir selain puluhan tembok bangunan separa musnah runtuh. Hampir 400,000 penduduk juga dikenal pasti berlindung di kawasan berisiko tinggi dilanda musibah banjir.

Beberapa kanak-kanak Palestin menimba keluar air banjir bercampur lumpur. Foto: AFP

Bencana itu memburukkan lagi penderitaan penduduk Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan susulan sekatan ketat terhadap kemasukan bekalan bantuan ke wilayah berkenaan.

Pejabat Media Gaza menganggarkan kerugian akibat ribut tersebut mencecah AS$3 juta (RM12.2 juta).

Air banjir yang bertakung meningkatkan risiko penularan pelbagai penyakit akibat pencemaran air dan persekitaran yang tidak bersih. Foto: AFP

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam memberi amaran lebih 2,000 bangunan berisiko runtuh dan sebanyak 300,000 khemah diperlukan bagi menyediakan tempat perlindungan lebih selamat kepada penduduk Palestin yang hidup serba daif.

Sejak Sabtu lalu, ratusan keluarga dilaporkan terpaksa meninggalkan kem sementara di beberapa kawasan di Bandar Gaza dan bahagian tengah serta utara wilayah itu selepas khemah yang menjadi tempat mereka berlindung dinaiki air. - Agensi