Manifesto PRN Melaka: Antara aspirasi politik dan realiti pemerintahan

Iklan
Dalam bidang sains politik, manifesto bukan sekadar instrumen komunikasi politik, tetapi dokumen komitmen yang membolehkan pengundi menilai keupayaan sesebuah parti membentuk kerajaan.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan menyaksikan persaingan bukan sekadar antara parti politik, tetapi juga antara tiga pendekatan berbeza terhadap pembangunan dan pentadbiran negeri.

Manifesto Barisan Nasional–Perikatan Nasional (BN–PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bersama memperlihatkan perbezaan ketara dari segi keluasan agenda, ketelitian perancangan serta kemampuan menterjemahkan janji pilihan raya kepada dasar kerajaan.

Iklan
Iklan

Dalam bidang sains politik, manifesto bukan sekadar instrumen komunikasi politik, tetapi dokumen komitmen yang membolehkan pengundi menilai keupayaan sesebuah parti membentuk kerajaan.

Kajian Thomson dan rakan-rakan (2017) menunjukkan bahawa pemenuhan janji pilihan raya berkait rapat dengan penyertaan parti dalam kerajaan serta kedudukannya dalam perkongsian kuasa.

Iklan

Justeru, manifesto perlu dinilai berdasarkan kejelasan sasaran, kemampuan kewangan, tempoh pelaksanaan dan kebolehlaksanaan politik.

Iklan

Daripada perspektif tersebut, manifesto BN–PN muncul sebagai tawaran paling menyeluruh dari segi liputan dasar dan penjadualan pelaksanaan.

Manifesto bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara menggariskan enam teras dan 113 inisiatif yang meliputi kebajikan, tadbir urus, pelaburan, infrastruktur, modal insan serta pembangunan belia.

Kekuatan utamanya terletak pada pembahagian komitmen kepada tiga tempoh pelaksanaan, iaitu 100 hari, setahun dan lima tahun.

Pendekatan ini memperlihatkan pemahaman terhadap kepentingan penyusunan keutamaan dasar dan memberikan asas yang lebih jelas untuk pengundi menilai pencapaian kerajaan selepas pilihan raya.

Manifesto tersebut turut mengemukakan sasaran kuantitatif seperti pembinaan 25,000 rumah mampu milik, pewujudan 25,000 pekerjaan, latihan lebih 15,000 graduan TVET dan tarikan pelaburan RM30 bilion.

Komitmen kebajikan seperti air percuma bagi penggunaan domestik bawah 20 meter padu sebulan, bantuan pendidikan serta pembekuan kenaikan kadar cukai tanah selama lima tahun menjadikan tawarannya dekat dengan kehidupan rakyat.

Dari sudut kemampuan pelaksanaan, BN–PN turut mempunyai kelebihan melalui pengalaman pentadbiran dan penggunaan institusi kerajaan sedia ada.

Dakwaan bahawa 97 peratus manifesto BN 2021 telah diselesaikan menjadi hujah kesinambungan BN–PN. Kelebihan institusi ini menjadikan banyak inisiatif kelihatan lebih praktikal berbanding janji yang memerlukan pembentukan mekanisme baharu sepenuhnya.

Walaupun sasaran perumahan, pekerjaan dan pelaburan masih memerlukan perincian pembiayaan, kapasiti pelaksana serta pemantauan berkala, manifesto BN–PN jauh mempunyai kelebihan kerana menawarkan kerangka pembangunan yang boleh dijadikan asas pentadbiran, bukannya sekadar menghimpunkan aspirasi umum.

Sebaliknya, manifesto PH bertemakan Aspirasi Melaka Rumah Kita memperlihatkan kelemahan yang lebih ketara.

Dokumen empat halaman itu menggariskan tiga keutamaan dan 12 aspirasi, antaranya bandar pintar, pekerjaan berkualiti, kebajikan, perumahan dan integriti pentadbiran.

Walaupun bidang yang dipilih relevan, kebanyakan cadangan tidak disertakan sasaran terukur, anggaran kewangan atau garis masa pelaksanaan.

Memang terdapat beberapa komitmen khusus, termasuk memperuntukkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan kepada belia dan beliawanis serta sasaran 25 juta kunjungan pelancong menjelang 2032.

Namun begitu, pendekatan keseluruhannya masih terlalu umum untuk dianggap sebagai pelan pentadbiran yang lengkap.

Sebagai contoh, janji menyediakan rumah yang selesa tidak menyatakan jumlah rumah, kategori penerima atau mekanisme pembiayaan.

Begitu juga komitmen mewujudkan pekerjaan berkualiti yang tidak menetapkan sasaran pekerjaan baharu mahupun sektor pertumbuhan utama.

Kelemahan tersebut menyukarkan pengundi menilai bagaimana janji berkenaan akan dilaksanakan dan diukur keberhasilannya.

Dari sudut analisis politik, manifesto PH boleh memberikan gambaran seolah-olah sebuah manifesto orang kalah, iaitu dokumen yang lebih menekankan kehadiran dalam pertandingan berbanding kesediaan mengambil alih pentadbiran.

Dibandingkan dengan dua dokumen pesaingnya, manifesto PH kelihatan seperti rangka aspirasi yang belum dikembangkan menjadi pelan pemerintahan.

Menariknya, Bersama mengemukakan manifesto yang jauh lebih substantif walaupun merupakan pencabar lebih kecil.

Dokumen 24 halaman itu memperlihatkan pendekatan berasaskan reformasi institusi, kemampanan fiskal, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Antara cadangannya ialah menetapkan pertumbuhan hasil negeri lima peratus berbanding peningkatan perbelanjaan tiga peratus, memperkenalkan lembaga tender bebas bagi kontrak melebihi RM10 juta dan meningkatkan perbelanjaan program sosioekonomi rakyat kepada sekurang-kurangnya 30 peratus.

Bersama turut memperincikan program perlindungan kesihatan bernilai RM500 setahun bagi isi rumah layak dengan anggaran peruntukan RM28 juta, selain RM30 juta setahun bagi program peningkatan sekolah.

Ini menunjukkan kemampuan merangka dasar yang lebih terukur berbanding manifesto PH, malah lebih terperinci daripada BN–PN dalam beberapa aspek pembiayaan.

Bagaimanapun, kelemahan utama Bersama terletak pada kebolehlaksanaan manifestonya.

Parti ini hanya mempertandingkan 16 calon daripada 28 kerusi DUN Melaka. Untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, Bersama memerlukan sekurang-kurangnya 15 kemenangan, bermakna hampir semua calonnya mesti menang.

Walaupun secara matematik tidak mustahil, prospek tersebut kelihatan terlalu mencabar.

Tambahan pula, cadangan seperti memperkenalkan tujuh ADUN tambahan melalui perwakilan berkadar dan mendapatkan perkongsian hasil GST memerlukan penelitian perundangan serta kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

Sekalipun Bersama memenangi beberapa kerusi, sebahagian besar manifestonya sukar dilaksanakan tanpa penguasaan kerajaan atau persetujuan rakan gabungan.

Kesimpulannya, manifesto BN–PN menawarkan pakej paling luas, berstruktur dan mempunyai asas pentadbiran untuk dilaksanakan.

Manifesto Bersama membawa idea reformasi yang baik tetapi menghadapi kekangan besar untuk membentuk kerajaan.

Manifesto PH pula paling lemah dari segi perincian sehingga menimbulkan persoalan tentang kesungguhannya menyediakan alternatif pemerintahan yang meyakinkan.

* Prof Dr Rusdi Omar ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).