NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri Bangladesh digulingkan, Sheikh Hasina pada Isnin memohon pasport dan kad pengenalan baharu bagi membolehkannya pulang ke tanah air selepas lebih dua tahun hidup dalam buangan di India.
Surat ditujukan kepada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di New Delhi, Preeti Rahman itu turut meminta permohonan berkenaan diproses dengan segera berdasarkan status kewarganegaraan Hasina dan mengikut ketetapan instrumen hak asasi manusia antarabangsa.
Permohonan itu merupakan komunikasi rasmi pertamanya sejak melarikan diri ke New Delhi pada 2024.
Langkah berkenaan menjadi petunjuk paling jelas bahawa Hasina berhasrat merealisasikan rancangannya untuk kembali ke Dhaka pada bulan depan, lebih dua tahun selepas kebangkitan rakyat menyingkirkan beliau yang telah memegang kuasa selama dua dekad.
Kepulangan itu berpotensi mencetuskan ketegangan politik berikutan parti pimpinannya, Liga Awami kini diharamkan pemerintah susulan kejatuhannya.
Sebelum ini, Hasina memaklumkan beliau sedia menyerah diri selepas kembali ke tanah air. Pembantunya pula memaklumkan tarikh kepulangannya akan diumumkan selepas beberapa urusan rasmi selesai.
Pada November 2025, mahkamah jenayah perang Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina tanpa kehadirannya atas kesalahan mengarahkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan hingga meragut banyak nyawa. Bagaimanapun, beliau menafikan pertuduhan itu.
Kebanyakan pemimpin Parti Liga Awami kini dipenjarakan manakala sebahagian yang lain memilih untuk hidup dalam buangan di India atau negara lain. - Agensi