GARUT - Hanya kerana tidak berpuas hati dengan teguran mengenai sambal yang terlalu masin, seorang lelaki tergamak menikam anak saudaranya sehingga maut dalam kejadian di Garut, Jawa Barat, Indonesia.
Insiden menggemparkan itu berlaku di Kampung Sindangsari, Desa Mekarsari, Kecamatan Cibalong ketika acara makan bersama di kediaman suspek.
Pelaku berusia 39 tahun dikenali sebagai M dipercayai berang selepas mangsa, RS, 21, menegur sambal yang disediakannya terlalu masin ketika mereka menjamu selera bersama.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Garut, AKP Herman Saputra berkata, kejadian itu berlaku pada malam Khamis lalu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, acara itu berlangsung seperti biasa sehingga selesai sebelum ahli keluarga lain meninggalkan kediaman berkenaan.
“Ketika itu, hanya suspek dan mangsa berada di lokasi sebelum suspek menikam mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan dan perut,” katanya kepada Kompas.com pada Sabtu.
Menurutnya lagi, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh kedua-dua ibu bapanya sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia akibat pendarahan serius. - Agensi