SEPANG - Kebersihan, keselamatan serta pematuhan perundangan antara aspek diberi penekanan menerusi pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) di negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pelaksanaan program itu penting bagi memastikan kawasan tumpuan pelancongan mempunyai persekitaran yang selamat, bersih dan kondusif kepada pengunjung.
Menurutnya, usaha berkenaan juga dapat meningkatkan kesedaran pengusaha dan peniaga mengenai kepentingan mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan secara beretika dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek penandaan harga dan maklumat barangan, pengurusan premis serta perlindungan kepentingan pengguna.
"Pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan, malah membentuk ekosistem pelancongan dan perdagangan yang lebih telus, berintegriti serta mesra pengguna.
"Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan hak, kepentingan dan kebajikan pengguna serta pelancong sentiasa terpelihara," katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) KPDN 2026 Peringkat Negeri Selangor di sini pada Sabtu.
Rizam berkata, ZTPP merupakan inisiatif strategik kementerian bagi mewujudkan persekitaran perdagangan yang telus, berintegriti, selamat dan kondusif di lokasi pelancongan utama.
"Pelaksanaan program berkenaan merupakan kesinambungan pendekatan Program Pasar PATUH yang sebelum ini dilaksanakan KPDN Selangor di tujuh lokasi pasar awam di seluruh negeri.
"Menerusi ZTPP, pendekatan advokasi, pendidikan dan kerjasama bersepadu diperluaskan ke kawasan pelancongan dengan turut menyediakan Tanda Harga PATUH kepada peniaga bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan dipamerkan dengan jelas serta mudah dilihat pengguna," katanya.
Jelasnya, pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Sepang dan peniaga sekitar Pantai Bagan Lalang.
"Inisiatif ini diharap dapat diperluaskan ke kawasan tumpuan pelancongan lain di seluruh negeri ini
"Ia secara langsung bagi memperkukuh budaya pematuhan, menggalakkan amalan perniagaan beretika serta meningkatkan keyakinan pelancong terhadap Selangor sebagai destinasi pelancongan berkualiti," katanya.