Angkat identiti Malaysia menerusi art toy

Iklan
Wan Muhammad Aznan atau dikenali sebagai Wan Kedah menghasilkan art toy berdasarkan pengalaman hidup dan budaya tempatan. Foto: Ihsan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi

SHAH ALAM - Minat terhadap mainan sejak kecil mendorong Wan Muhammad Aznan Wan Azmi menghasilkan mainan seni (art toy) berinspirasikan budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.

Lebih dikenali sebagai Wan Kedah, lelaki berusia 53 tahun itu mengasaskan jenama Ayaq Mata Toy pada 2018 dengan menghasilkan mainan dengan identiti tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, minat mengumpul mainan sejak era 1980-an mendorongnya menghasilkan karakter sendiri berbanding sekadar mengumpul koleksi orang lain.

Wan Kedah memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak dalam aktiviti menghasilkan karya seni.

Iklan

“Kita selalu melihat karakter dari Jepun, Amerika dan sebagainya, tetapi kita sendiri mempunyai banyak cerita, identiti dan humor yang boleh dijadikan inspirasi.

“Ayaq Mata Toy diwujudkan sebagai usaha menghasilkan mainan yang mengetengahkan identiti dan budaya tempatan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Iklan

Pendedahan kepada figura mainan seni tempatan dapat membantu kanak-kanak mengenali karya beridentitikan Malaysia.

Bekas pensyarah multimedia dan reka bentuk di Kuala Lumpur dan Shanghai, China itu berkata, karyanya dipengaruhi budaya pop era 1980-an dan 1990-an serta kehidupan masyarakat Kedah.

Katanya, pengaruh tersebut diterjemahkan melalui karakter yang menggabungkan unsur tempatan dengan konsep robot, fiksyen sains dan mainan retro.

Proses membuat setiap art toy bukan sesuatu yang mudah kerana hampir semua proses perlu dilakukan dengan teliti. Foto: Ihsan Wan Muhammad Aznan

Antara hasil karyanya ialah Mat Noq yang berkonsepkan robot gergasi dari kampung dan Deloton Saga, iaitu gabungan reka bentuk DeLorean dengan Proton Saga.

“Saya suka mengambil sesuatu yang biasa kita lihat, kemudian mengolahnya menjadi karakter yang berbeza.

“Kadang-kadang idea datang daripada perkara yang serius, kadang-kadang daripada sesuatu yang lucu atau pelik,” katanya.

Wan Kedah berkata, mainan seni bukan sekadar bahan koleksi, ia boleh digunakan untuk menyampaikan cerita, pandangan dan mesej melalui unsur humor serta satira.

Sesetengah karyanya turut menggunakan unsur humor, sindiran dan satira.

Menurut pengasas Collectors Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL) itu, keunikan mainan seni tempatan terletak pada cerita dan identitinya berbanding produk komersial yang dihasilkan secara besar-besaran.

Katanya, pengeluaran secara kecil-kecilan turut memberinya kebebasan menghasilkan karya tanpa terlalu terikat dengan kehendak pasaran.

“Kita tidak semestinya perlu mengikut formula pasaran atau menghasilkan sesuatu yang semua orang suka. Yang penting, karya itu mempunyai identiti dan kejujuran pengkaryanya,” katanya.

Proses hasilkan produk rumit

Bagaimanapun, beliau mengakui proses penghasilan mainan seni mencabar kerana perlu menguruskan sendiri kerja mereka bentuk, menghasilkan prototaip, mengecat, memasang dan membungkus produk.

“Saya tidak mempunyai kilang atau pasukan produksi yang besar. Jadi, saya perlu merancang berdasarkan kemampuan dan modal sendiri. Kalau berlaku kesilapan, saya sendiri perlu mencari jalan untuk memperbaikinya,” katanya.

Jelasnya, reka bentuk yang menarik pada skrin belum tentu menghasilkan produk fizikal yang baik kerana perlu mengambil kira keseimbangan, ketahanan bahan dan pemasangan.

Selain kos bahan, cetakan dan pembungkusan, masa serta tenaga turut diambil kira dalam menentukan kos pengeluaran.

Katanya, setiap produk juga perlu melalui proses percubaan dan penambahbaikan bagi memastikan hasil akhir menepati reka bentuk asal.

Wan Kedah berkata, sebarang kelemahan pada reka bentuk perlu diperbaiki sebelum produk siap untuk dipasarkan.

Semut Merah merupakan salah satu karya dihasilkan Wan Kedah. Foto: Ihsan Wan Muhammad Aznan Wan Azmi

Harga produk Ayaq Mata Toy lazimnya antara RM130 hingga RM400, bergantung pada karakter, saiz, bahan, kerumitan reka bentuk dan jumlah pengeluaran.

Beliau turut menerima pertanyaan mengenai tempahan karakter mengikut permintaan pelanggan, tertakluk pada kesesuaian reka bentuk, bahan, kuantiti dan bajet.

Selain menghasilkan mainan, Wan Kedah pernah menganjurkan lelongan karya bagi membantu Palestin dan berjaya mengumpulkan RM2,019.

Katanya, karya seni juga boleh digunakan untuk menyampaikan mesej dan membantu golongan memerlukan.

Karya Wan Muhammad Aznan berkaitan Palestin.

Beliau berharap Ayaq Mata Toy dapat membuktikan kemampuan pengkarya tempatan menghasilkan mainan seni yang unik dan berdaya saing.

Menurutnya, kepelbagaian budaya Malaysia boleh dijadikan sumber inspirasi untuk menghasilkan karya kreatif tanpa terlalu bergantung pada produk import.