KLANG - Kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram yang dipercayai beroperasi sejak hampir dua tahun lalu terbongkar menerusi serbuan di sebuah premis barangan lusuh di Kawasan Perusahaan Pelabuhan Utara, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, operasi itu membawa kepada penahanan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mereka sedang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa permit yang sah.
"Hasil serbuan, pihak polis merampas kira-kira 60,000 kilogram sisa elektronik terdiri daripada papan litar elektronik, tembaga, keluli tahan karat, aluminium dan timah.
"Turut dirampas empat jentera forklift serta pelbagai peralatan pemprosesan lain yang digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5.08 juta.
"Kesemua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Semua barang rampasan pula diserahkan kepada JAS Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
Tambahnya, pada masa sama, Bahagian Penguatkuasaan MBDK turut mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis mengikut Akta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Diraja Klang) 2007.
"Orang ramai dinasihatkan agar menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mengetahui