Isu pengiktirafan IIUMSU: WUFI tuntut penjelasan pentadbiran UIAM

Iklan
WUFI menggesa UIAM segera memuktamadkan dan menandatangani MoU bagi mengiktiraf IIUMSU sebagai badan perwakilan pelajar yang sah selepas lebih lapan bulan tertangguh. - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Office of the Deputy Rector (Student Development & Community Engagement) (ODRSDCE) dan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) digesa memuktamadkan serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyelesaikan persoalan berkaitan keabsahan dan identiti IIUM Student Union (IIUMSU).

We Unite For Islam (WUFI) berkata, langkah itu penting bagi mengiktiraf IIUMSU secara rasmi dan bertulis sebagai badan perwakilan pelajar UIAM yang sah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selama lebih lapan bulan, pelajar UIAM dibiarkan tanpa badan perwakilan pelajar yang diiktiraf oleh pihak universiti.

"Ini bukan sekadar kelewatan. Ia merupakan satu bentuk penafian yang disengajakan terhadap hak pelajar untuk berada di meja perundingan dan disamarkan atas alasan kesibukan.

Iklan

"Sejak Januari 2026, Presiden IIUMSU bersama barisan kepimpinan telah mengemukakan perkara ini melalui saluran yang betul, secara berhemah dan disertakan bukti pelaksanaan yang jelas.

"Bagaimanapun, MoU yang pindaan terhadapnya telah dipersetujui pada 19 Januari masih belum ditandatangani. Apa yang kami terima hanyalah alasan, penangguhan dan dolak-dalik. Oleh itu, kami mengecam sekeras-kerasnya sikap pentadbiran universiti yang dilihat memandang isu ini secara sambil lewa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

WUFI turut mencadangkan agar semua calon pilihan raya mahasiswa menarik diri daripada pertandingan sehingga autonomi pelajar serta kedudukan IIUMSU dipulihkan dan diiktiraf sepenuhnya oleh UIAM.

Menurut kenyataan itu, IIUMSU kekal wujud kerana berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (PPM035-14-05092019).

"Namun, tanpa pengiktirafan sebagai badan perwakilan pelajar UIAM yang sah, IIUMSU hanya wujud sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada nama semata-mata tanpa pejabat, tanpa inisiatif dan tanpa mandat untuk mewakili UIAM dalam sebarang urusan.

"Memilih pemimpin bagi jawatan yang tidak diiktiraf hanya akan mewujudkan gambaran palsu bahawa suara pelajar masih diwakili.

"Perjuangan kami bukan sekadar untuk penubuhan IIUMSU, tetapi juga untuk memastikan ia diiktiraf sebagai badan perwakilan pelajar yang sah," katanya.

Dalam masa sama, WUFI menuntut agar pentadbiran universiti mengeluarkan tarikh mesyuarat secara bertulis bersama IIUMSU bagi memperjelaskan kedudukan serta kuasa sebenar Kesatuan Mahasiswa dalam struktur pentadbiran universiti.

"Ia termasuk memastikan proses pilihan raya mahasiswa benar-benar mencerminkan prinsip demokrasi dan autonomi mahasiswa sepenuhnya tanpa campur tangan mana-mana pihak luar," katanya.