Elaun imam, bilal, siak perlu dinaikkan untuk tarik anak muda - GAPEMAS

Iklan
Yahya (tiga kanan, duduk) bersama peserta semasa hadir merasmikan Bengkel Modul Kebapaan Siri 2 2026 di Dewan Wisma Imam Pasir Tumbuh di Kota Bharu pada Sabtu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Gabungan Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid SeMalaysia (GAPEMAS) mahu elaun imam, bilal dan siak di seluruh negara dinaikkan bagi memastikan kebajikan petugas masjid terus terbela.

Yang Dipertuanya, Datuk Dr Yahya Baba berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi menarik lebih ramai golongan muda, khususnya lepasan madrasah dan golongan hafiz, untuk berkhidmat sebagai imam, bilal serta siak.

Iklan
Iklan

"Langkah itu penting bagi memastikan institusi masjid terus mendapat penyertaan tenaga muda yang berkelayakan, sekali gus menjamin kesinambungan peranan masjid dalam masyarakat.

"Kami berharap kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun imam daripada RM850 ketika ini kepada RM1,000, manakala elaun bilal dan siak turut ditambah sebanyak RM150," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Modul Kebapaan Siri 2 2026 di Dewan Wisma Imam Pasir Tumbuh di sini pada Sabtu.

Iklan

Ujar beliau, golongan hafiz dan lepasan madrasah semakin ramai dalam masyarakat dan mahu mereka melihat masjid sebagai tempat untuk berkhidmat dengan imbuhan yang sewajarnya.

Tambahnya, jika kerajaan boleh memberikan imbuhan yang baik kepada profesion lain, perkara sama juga perlu diberi perhatian kepada petugas masjid.

Iklan

Beliau memberitahu, GAPEMAS akan terus memperjuangkan peningkatan elaun imam, bilal dan siak setiap tahun, termasuk membawa perkara itu dalam pertemuan dengan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Tugas petugas masjid bukan sekadar menguruskan urusan ibadah, malah turut melibatkan khidmat kepada masyarakat termasuk membantu ketika berlaku kematian dan urusan kebajikan setempat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pengumuman Belanjawan 2027 berhubung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk 40,000 petugas agama serta sumbangan khas RM750 kepada 70,000 petugas sebagai langkah penting menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Katanya, perlindungan PERKESO dapat membantu petugas masjid dan keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan menjalankan tugas ke masjid atau menyantuni masyarakat.

"PERKESO sangat penting kepada petugas masjid kerana sekiranya berlaku kemalangan ketika mereka menjalankan tugas, sekurang-kurangnya perlindungan itu dapat membantu keluarga mereka.

"Kita tidak mengharapkan kemalangan berlaku, tetapi perlindungan seperti ini sangat diperlukan," katanya.

 


GAPEMAS sedia kerjasama SPRM banteras penyelewengan wang masjid

KOTA BHARU - Gabungan Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid SeMalaysia (GAPEMAS) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh integriti pengurusan kewangan institusi tersebut termasuk membanteras penyelewengan wang tabung.

Yang Dipertuanya, Datuk Dr Yahya Baba berkata, usaha itu penting bagi memastikan sumbangan orang ramai yang diamanahkan kepada pihak masjid dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Menurut beliau, isu integriti kewangan masjid perlu diberi perhatian serius memandangkan kutipan tabung pada setiap Jumaat boleh mencecah antara RM7,000 hingga RM8,000, sekali gus memerlukan pengurusan yang telus dan bertanggungjawab.

"GAPEMAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri menerusi program meningkatkan integriti kewangan dalam kalangan bendahari masjid.

"Kita juga pernah bekerjasama dengan SPRM pada peringkat awal penubuhan GAPEMAS bagi menyebarluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjaga integriti kewangan, termasuk menerusi hebahan di radio.

"Kita memang mahu meneruskan kerjasama ini kerana masalah kewangan dan integriti dalam pengurusan masjid sangat penting untuk ditangani," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Modul Kebapaan Siri 2 2026 di Dewan Wisma Imam Pasir Tumbuh di sini pada Sabtu.

Yahya memberitahu, sebarang penyelewengan wang masjid bukan sahaja menjejaskan pengurusan institusi berkenaan, malah mengkhianati niat murni orang ramai yang menyumbang untuk tujuan kebajikan dan pembangunan agama.

Tambahnya, wang tabung masjid merupakan amanah masyarakat serta ahli kariah yang sepatutnya digunakan bagi melaksanakan pelbagai keperluan dan aktiviti keagamaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada pihak sepatutnya melindungi individu yang terbabit dalam sebarang salah laku kewangan kerana perkara berkenaan tidak boleh disembunyikan atau dibiarkan berterusan.

"Jangan kita sembunyikan atau menutup perkara ini semata-mata mahu melindungi seseorang kerana wang itu milik masyarakat dan ahli kariah untuk urusan agama.

"Kita perlu mengambil serius perkara ini dan GAPEMAS bersedia bekerjasama dengan kerajaan serta Jabatan Agama Islam bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.