Nelayan Pantai Sabak tarik perahu kolek ke darat tanda musim tengkujuh bermula

Iklan
Kerja-kerja menarik perahu dilakukan bersama-sama oleh komuniti melayan. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Riuh suara nelayan Pantai Sabak yang bergotong-royong menarik perahu kolek ke darat menjadi petanda musim tengkujuh telah tiba, sekali gus menandakan bermulanya tempoh ‘rehat’ mereka daripada mencari rezeki di laut.

Tradisi yang dilakukan setiap tahun itu bertujuan membolehkan kerja membaiki kerosakan, mengecat dan menyelenggara perahu dilaksanakan sebelum mereka kembali turun ke laut.

Iklan
Iklan

Ketua Jaringan Perikanan Pulau Gajah dan Sabak, Nik Ruzullaili Nik Yusuff, berkata, aktiviti tersebut juga menjadi isyarat kepada tauke, pembeli dan pemborong bahawa nelayan di kawasan berkenaan menghentikan sementara aktiviti menangkap ikan sepanjang musim tengkujuh.

"Apabila kita menarik perahu ke darat, orang sudah tahu musim tengkujuh bermula dan nelayan perahu kolek tidak turun ke laut buat sementara waktu, mungkin selama empat bulan.

Iklan

"Pada waktu ini, pemilik akan membaiki perahu, mengecat semula dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan lain," katanya kepada pemberita di Jeti Pulau Gajah di sini pada Jumaat.

Tradisi menarik perahu kolek pada musim tengkujuh dilakukan oleh nelayan Pantai Sabak. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

Menurut Nik Ruzullaili, jumlah perahu kolek di pantai itu semakin berkurangan setiap tahun apabila terdapat pemilik yang menjualnya kerana tidak lagi mampu meneruskan pekerjaan sebagai nelayan disebabkan faktor usia serta ketiadaan pewaris.

"Hari ini kami menaikkan 15 perahu bermula jam 5 petang hingga 11 malam dan keseluruhannya sebanyak 23 perahu akan dinaikkan ke darat, berkurangan dua buah berbanding tahun lalu.

"Dalam tempoh lima tahun lalu, jumlahnya sekitar 40 perahu, manakala sebelum itu pernah melebihi 100 perahu. Kini bilangannya semakin berkurangan," katanya.

Sementara itu, nelayan veteran, Azman Ya, 62, berkata, beliau akan terus turun ke laut selagi masih mempunyai kudrat meskipun anak-anaknya tidak berminat mengikut jejak langkahnya.

"Selagi kuat, selagi itulah saya menangkap ikan.

"Anak-anak tidak ada yang mahu mewarisi pekerjaan ini. Mereka tidak menunjukkan minat dan lebih memilih pekerjaan di darat," katanya.

Menurut Azman, perahu kolek warisan yang diperbuat daripada kayu cengal perlu dijaga dengan baik selain memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Berbeza dengan Azman, Mohd Sayuti Zahari, 33, mula menjadi nelayan secara tidak dirancang selepas berkahwin dengan wanita berasal dari Kampung Sabak kira-kira 11 tahun lalu.

Seni pada warisan perahu kolek yang dimilik oleh sebahagian nelayan di Pantai Sabak. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Katanya, minat terhadap pekerjaan itu mula timbul selepas mengikut bapa mentuanya, Mohamad Mustapa, 60, yang memiliki perahu kolek untuk turun ke laut.

"Dahulu saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi selepas berkahwin saya mula mengikut bapa mentua ke laut kerana beliau memiliki perahu kolek.

"Lama-kelamaan saya seronok bekerja di laut kerana suasananya lebih tenang dan tidak memberi tekanan seperti bekerja di bandar, selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi," katanya.