GUA MUSANG - Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang meredah air banjir menggunakan peralatan keselamatan bagi menyelamatkan 16 mangsa dari dua rumah di Kampung Kundur, Jalan Kuala Betis di sini awal pagi Khamis.
Tindakan pantas pasukan penyelamat itu berjaya membawa keluar kesemua mangsa termasuk seorang bayi lelaki dan warga emas selepas paras air di kawasan kediaman mereka semakin meningkat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shukri Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati dua rumah terjejas dengan keseluruhan 16 penghuni berada dalam keadaan cemas ketika paras air semakin naik.
"Rumah pertama dihuni lima mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dewasa serta bayi lelaki.
"Manakala rumah kedua pula menempatkan 11 mangsa iaitu seorang lelaki warga emas, sembilan lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, anggota bomba menggunakan Personal Flotation Device (PFD) ketika meredah air bagi membawa keluar kesemua mangsa ke tempat selamat.
Menurutnya, semua 16 mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, operasi ditamatkan selepas pihaknya memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum jentera dan anggota kembali ke balai.