KETIKA beberapa negara mula menggesa rakyat menyediakan bekalan makanan dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan, adakah kemungkinan Malaysia juga perlu mengambil langkah serupa atau keadaan negara masih cukup terkawal.
Peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak memandang ringan ancaman keselamatan global wajar diberi perhatian.
Walaupun Malaysia belum berdepan situasi darurat, perkembangan antarabangsa menunjukkan krisis pada hari ini tidak lagi terbatas kepada konflik bersenjata semata-mata.
Ketegangan geopolitik, ancaman serangan siber, gangguan infrastruktur serta ketidakstabilan ekonomi berpotensi mencetuskan kesan berantai terhadap rantaian bekalan makanan dan barangan keperluan asas.
Hakikat bahawa Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun antara pihak yang mengeluarkan nasihat penyimpanan bekalan makanan untuk tempoh tertentu membuktikan aspek kesiapsiagaan awam semakin diberikan perhatian.
Namun sedikit kelegaan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kapasiti bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan dan rakyat tidak perlu mengambil langkah kecemasan ketika ini.
Bagaimanapun, jaminan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai alasan untuk mengabaikan keperluan memperkukuh persediaan negara.
Sebaliknya, situasi ini perlu menjadi peringatan bahawa keterjaminan makanan bukan sekadar memastikan stok mencukupi, tetapi turut bergantung kepada kelancaran pengeluaran, pengangkutan, pengedaran dan kemampuan rakyat mendapatkan bekalan pada harga berpatutan.
Kerajaan juga perlu memastikan sumber bekalan tidak terlalu bergantung kepada import sehingga sebarang gangguan perdagangan antarabangsa boleh menjejaskan pasaran domestik.
Dalam masa sama, masyarakat boleh mengamalkan persediaan asas secara berhemah dengan menyediakan stok makanan tahan lama, air minuman dan keperluan penting mengikut kemampuan, tanpa melakukan pembelian panik atau menimbun barangan.
Malaysia mungkin belum berada dalam keadaan darurat, namun kesiapsiagaan tidak sepatutnya bermula hanya apabila krisis sudah berlaku.
Mencegah dan bersedia lebih baik daripada bertindak ketika keadaan sudah mendesak.