SELEPAS negara berdepan episod jerebu, kini rakyat berhadapan pula dengan satu lagi cabaran cuaca apabila keadaan panas terik pada sebelah siang boleh berubah menjadi hujan lebat dalam tempoh singkat sehingga mencetuskan banjir kilat.
Fenomena cuaca tidak menentu ini bukan perkara baharu, namun apa yang membimbangkan ialah setiap kali hujan lebat melanda, kawasan sama kembali ditenggelami air seolah-olah tiada penyelesaian tuntas mampu dilaksanakan.
Minggu ini sahaja, beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat walaupun hanya dalam tempoh beberapa jam.
Antaranya Kampung Melayu Subang yang menyaksikan kira-kira 92 rumah di empat jalan terjejas sehingga tiga penduduk, termasuk seorang warga emas kurang upaya dan bayi, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Di Shah Alam, beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) turut terjejas sehingga terpaksa ditutup.
Banjir kilat turut dilaporkan di Seri Kembangan, Petaling Jaya, Bangsar, Taman Tun Dr Ismail dan Jalan Pantai Baharu.
Malah, hujan lebat berterusan pada Rabu menyebabkan jambatan di Jalan Kubu Gajah, Sungai Buloh runtuh sehingga memutuskan laluan utama penduduk setempat.
Lebih membimbangkan, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan ekstrem dengan taburan melebihi 100 milimeter berpotensi berterusan pada setiap petang di Lembah Klang sehingga hujung minggu ini.
Persoalannya, sampai bila penduduk perlu berhadapan dengan kitaran masalah sama setiap kali hujan lebat? Banjir kilat bukan sekadar air bertakung di jalan raya tetapi memberi satu tekanan kepada masyarakat misalnya lewat ke tempat kerja, anak-anak terpaksa berdepan kesukaran ke sekolah, peniaga hilang pendapatan, malah pemilik rumah perlu menanggung kos membersihkan kediaman dan menggantikan barangan yang rosak.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin menekan, rakyat sekali lagi terpaksa mengeluarkan wang untuk menanggung kerugian akibat masalah yang bukan berpunca daripada mereka.
Justeru, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada negara perlu terus membangun, tetapi sejauh mana pembangunan dilaksanakan dengan perancangan yang betul.
Pembangunan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan sistem saliran, kawasan tadahan air dan ruang semula jadi yang berfungsi menyerap lebihan air hujan.
Selagi ada tanah, dibangunkan kondominium dan perumahan berkepadatan tinggi, kapasiti parit, longkang dan saliran di kawasan berkenaan sepatutnya turut diberi perhatian dan dinaik taraf mengikut pertambahan penduduk serta keluasan kawasan berturap.
Namun persoalannya adakah ia diadakan seiring? Jangan sampai bangunan semakin tinggi, jumlah penduduk semakin padat, tetapi sistem perparitan masih menggunakan kapasiti lama.
Lebih penting, di manakah kawasan tadahan hujan dan pelan tebatan banjir yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan? Pemaju perlu bertanggungjawab, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti lebih tegas dalam memastikan setiap kelulusan projek mengambil kira kemampuan infrastruktur sedia ada.
Tidak memadai sekadar meluluskan pembangunan dan kemudian menyerahkan masalah banjir kepada agensi berkaitan untuk diselesaikan selepas kejadian berlaku.
Akhirnya, ukuran kemajuan sesebuah bandar bukan hanya pada deretan bangunan pencakar langit, pusat komersial dan projek perumahan baharu, tetapi juga kemampuan bandar itu melindungi penduduknya daripada bencana yang boleh dijangka dan dikurangkan risikonya.
Saya percaya rakyat bukannya minta pembangunan dihentikan, cuma mahu pembangunan yang tidak menjadikan kehidupan semakin sukar.
Jangan sampai setiap kali langit mendung dan hujan mula turun, penduduk terpaksa berdebar memikirkan sama ada rumah, kenderaan dan harta benda mereka sekali lagi akan menjadi mangsa banjir.
*Roskhoirah Yahya ialah wartawan Sinar Harian