SHAH ALAM – Semua kerja pembangunan di Puncak Alam diarahkan dihentikan serta-merta susulan kejadian banjir melanda beberapa kawasan di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil serius keresahan rakyat yang terpaksa berdepan kejadian banjir sehingga menjejaskan urusan harian termasuk perjalanan ke tempat kerja dan mengambil anak dari sekolah.
"Setiap teguran rakyat terhadap agensi kerajaan perlu diterima secara terbuka dan dijadikan dorongan untuk meningkatkan usaha membantu mangsa serta mengelakkan kejadian banjir berulang.
"Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Amirudin menjelaskan, kerja mitigasi banjir berskala kecil dan besar di seluruh Selangor khususnya kawasan berisiko tinggi perlu dipercepatkan tanpa mengikut jadual konvensional.
Katanya, langkah itu penting memandangkan hujan dijangka berlaku hampir setiap hari ketika negara berdepan cabaran perubahan iklim.
"Budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan," ujar beliau.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri akan menyegerakan dan menambah bantuan kepada mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Beliau berkata, usaha membaik pulih dan membersihkan rumah mangsa turut dipercepatkan menerusi kerjasama agensi kerajaan negeri serta Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.
Menurutnya, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa yang berada di PPS bagi meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh kerja pembaikan.
Selain itu, jelas beliau, amaran awal akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan berisiko mengalami kenaikan paras air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diminta melaksanakan kerja pengalihan aliran air dengan segera, manakala semua agensi bertanggungjawab mempercepatkan penyelenggaraan longkang dan sungai tanpa sebarang kelewatan," tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, Amirudin memberitahu, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.