Penduduk Taman Seri Alam resah, kolam takungan melimpah empat kali

Iklan
Keadaan sebuah rumah yang dimasuki air susulan limpahan kolam takungan di Taman Seri Alam pada Khamis.

SAUJANA UTAMA – Kejadian kolam takungan melimpah sehingga menyebabkan banjir di Taman Seri Alam di sini bukan perkara baharu apabila insiden sama didakwa berlaku sebanyak empat kali sejak 2015.

Malah, kejadian terbaharu itu kembali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang menetap berhampiran kolam takungan berkenaan, terutama apabila air deras melimpah masuk ke kediaman mereka.

Iklan
Iklan

Penduduk, Muhammad Akmal Abd Ghani, 40, berkata, cadangan supaya kolam takungan itu dipindahkan ke lokasi lain pernah dibangkitkan susulan kedudukannya yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

"Kejadian limpahan kolam itu bukan kali pertama berlaku. Insiden sama pernah dilaporkan pada 2015 sebelum berulang pada Disember 2024, April lalu dan terbaharu semalam (Khamis).

Iklan

"Cadangan penduduk sebelum ini memang mahu kolam ini ditutup kerana kedudukannya betul-betul bersebelahan kawasan perumahan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Akmal berkata, penduduk difahamkan terdapat perancangan untuk membina kolam takungan baharu di kawasan hadapan berhampiran kolam pancing, namun sehingga kini mereka masih belum mengetahui perkembangan projek tersebut.

Iklan

Beliau yang menetap di kawasan itu sejak 2011 berkata, Taman Seri Alam mempunyai kira-kira 400 buah rumah dan sebahagiannya berisiko terjejas sekiranya air dari kolam takungan berkenaan melimpah.

Menurutnya, kedudukan beberapa kawasan perumahan yang lebih rendah menyebabkan air mengalir ke bahagian belakang taman dan berpotensi mengakibatkan banjir yang lebih teruk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Usain Omar, 53, berkata, air deras mula melimpah dari kolam takungan itu kira-kira jam 5 petang sehingga menyebabkan beberapa kediaman dimasuki air.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, kejadian tersebut menyebabkan isterinya terpaksa mengalihkan barangan di dalam rumah ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

"Almari antara barangan yang rosak kerana terkena air dan mengembang. Mujur isteri berada di rumah ketika kejadian, jadi sempat menyelamatkan beberapa barangan lain.

"Saya pula ketika itu berada di tempat kerja di Seksyen 13, Shah Alam dan mengambil masa lebih dua jam untuk pulang berikutan kesesakan lalu lintas akibat banjir.

"Kebiasaannya perjalanan hanya mengambil masa antara 25 hingga 30 minit, tetapi semalam saya bertolak kira-kira jam 5.30 petang dan hanya tiba di rumah hampir jam 8 malam," katanya.

Dalam pada itu, Izzuan Durrani, 25, berkata, rumah sewanya turut dimasuki air selepas limpahan deras dari kolam takungan yang terletak kira-kira 20 meter dari kediamannya.

Menurutnya, air mula memasuki rumah sekitar jam 5 petang sebelum kembali surut kira-kira dua jam kemudian.

"Saya ketika itu berada di tempat kerja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk menyelamatkan barangan penting.

"Ini kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini sejak menetap di sini lebih setahun lalu," katanya.