TANGGA BATU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mendedahkan dokumen Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lalu.
Beliau berkata, perjanjian persefahaman seperti itu bukan perkara baharu kerana ia pernah dimeterai ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), dengan turut melibatkan pemimpin Pas.
Beliau kesal apabila wujud perbezaan pandangan dalam menilai perjanjian berkenaan sehingga ada pihak memberikan gambaran negatif terhadap perjanjian seumpamanya.
"Masa itu saya Ketua Pembangkang, kita tandatangan dengan Datuk Seri Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri ketika itu bersama Pas, UMNO dan Bersatu sekali.
"Ketika dia tandatangan kata halal, tetapi kita tandatangan, dia kata dajal. Inilah politik," katanya.
Beliau berucap pada Jelajah Aspirasi Madani Melaka DUN Klebang di Taman Bukit Rambai pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu 'pendekatan dajal' kerana dianggap mengkhianati amanah.
Ia disusuli kenyataan Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN menggesa kerajaan mendedahkan kandungan CSA, khususnya membabitkan jumlah peruntukan, kaedah penyaluran serta pelaksanaannya.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan dokumen perjanjian berkenaan kepada umum bagi membolehkan rakyat menilai sendiri kandungan serta pihak yang menandatanganinya.
"Saya telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menguruskan perkara itu dan akan membangkitkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
"Saya tidak ada masalah. Dedahkan, ini yang ditandatangani dalam perjanjian. Ini orang yang tandatangan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya menjaga akhlak dan tidak menggunakan agama sebagai alat untuk menghalalkan atau memburukkan sesuatu tindakan mengikut kepentingan politik.
Beliau berkata, Islam tidak seharusnya dinilai berdasarkan penampilan luaran seperti pemakaian serban atau janggut, sebaliknya melalui akhlak dan tingkah laku seseorang.
"Kita dalam Islam ini bukan pada serban, bukan pada janggut. Pada akhlak. Orang nilai kita.
"Bayangkan orang bukan Islam tengok, Islam macam ini setuju dengan dia, halal. Tak setuju dengan dia, dajal. Tak boleh. Ini kita kena betulkan," katanya.
Pada minggu lalu, kerajaan memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili Bersatu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam lagi Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti itu pada 2024.
Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan Madani sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.
End