PRN Melaka: Gaji RM2,000 belum mampu beli rumah - Calon PH DUN Paya Rumput
Iklan
Azman ketika wawancara bersama Sinar Harian di bilik gerakan PH Paya Rumput pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
TANGGA BATU - Gaji RM2,000 sebulan masih belum mencukupi untuk membolehkan golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah, terutama di kawasan pembangunan pesat seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Menyedari realiti itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin berhasrat memperjuangkan lebih banyak projek perumahan mampu milik bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengumumkan pembinaan sebuah lagi projek perumahan rakyat di Paya Rumput tahun depan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Bagaimanapun, beliau mahu usaha itu diperluaskan dengan mendapatkan kerjasama kerajaan negeri bagi menyediakan lebih banyak tanah dan peruntukan untuk pembinaan rumah mampu milik.
Iklan
“Kita juga perlu melihat semula pendapatan mereka kerana dengan gaji RM2,000, saya rasa masih belum mencukupi untuk memiliki rumah di Paya Rumput,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, usaha meningkatkan pendapatan penduduk turut perlu diberi perhatian melalui kemasukan pelaburan asing dan industri bernilai tinggi yang mampu menawarkan peluang pekerjaan serta gaji lebih baik.
Iklan
Katanya, hasrat menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu dimanfaatkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri.
Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian kepada isu banjir dan kesesakan lalu lintas yang disifatkan antara masalah utama penduduk Paya Rumput susulan pembangunan pesat kawasan berkenaan.
Katanya, pertambahan kawasan perumahan dan jumlah kenderaan tidak disusuli peningkatan kapasiti sistem perparitan serta jalan raya yang mencukupi sehingga menyebabkan beberapa kawasan berdepan masalah berulang.
Azman menyantuni penduduk DUN Paya Rumput.
Beliau berpandangan, penyelesaian isu trafik memerlukan perancangan jangka pendek dan panjang termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengawal aliran lalu lintas.
“Kalau hendak membina jejantas atau laluan bertingkat, pelaburannya sangat besar. Jadi, kita perlu melihat kaedah lain termasuk penggunaan teknologi AI untuk membantu mengurangkan kesesakan.
“Pada masa sama, isu banjir memerlukan peruntukan besar dan kerjasama kerajaan negeri serta Persekutuan untuk memastikan penyelesaiannya dapat dilaksanakan,” katanya.
Menyentuh mengenai kelebihan yang dimilikinya, Azman berkata, pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri membuka ruang untuk beliau menjadi penghubung antara penduduk Paya Rumput dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, akses kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pusat termasuk dalam mendapatkan perhatian terhadap keperluan peruntukan pembangunan boleh dimanfaatkan bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk.
Bagaimanapun, beliau mengakui kerjasama erat dengan kerajaan negeri tetap penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Azman yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pasaran modal sebelum menceburi politik berkata, beliau mula menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak penubuhannya pada 1999.
Anak jati Melaka itu berasal dari Kuala Linggi dam pernah bersekolah di Sekolah Menengah Rahmad, Kuala Sungai Baru sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.
Azman berkata, keputusan bertanding di Paya Rumput dibuat selepas dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri yang melihat latar belakang serta pengalamannya berkhidmat dalam masyarakat di seluruh negara.
Beliau memilih kawasan itu kerana komposisi penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, hampir sama dengan kawasan Bandar Tun Razak yang sudah biasa diwakilinya dalam gerak kerja politik.
Pada PRN Melaka kali ini, Azman berdepan pertandingan tiga penjuru di DUN Paya Rumput.
Untuk rekod, kerusi berkenaan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin pada PRN Melaka ke-15 pada 2021 dengan majoriti 629 undi selepas memperoleh 6,830 undi.
Menurutnya, media sosial penting tetapi bukan segala-galanya dalam kempen pilihan raya kerana platform itu lebih cenderung menjangkau kelompok masyarakat tertentu dalam dunia maya, sedangkan hubungan dengan pengundi perlu dibina menerusi pertemuan secara bersemuka.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/803371/berita/politik/prn-melaka-calon-ph-duyong-pilih-shake-hand-bukan-kejar
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.