Bank Islam, NAMA Foundation pacu perubahan hidup komuniti terpinggir

Iklan
Raja Teh Maimunah (tengah) ketika majlis kerjasama sempena Minggu Kelestarian 2026 Bank Islam

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bekerjasama dengan sebuah organisasi filantropi, NAMA Foundation untuk memperluas akses kepada pendidikan dan keusahawanan bagi komuniti terpinggir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, kolaborasi itu bertujuan meningkatkan penglibatan ekonomi dan mobiliti sosial jangka panjang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia mencerminkan komitmen Bank Islam dalam menyemai pembangunan inklusif dan mampan yang sejajar dengan objektif Maqasid Syariah.

"Impak sebenar kami diukur melalui kehidupan yang berjaya kami tingkatkan, peluang yang diwujudkan dan masa depan yang dibentuk.

Iklan

"NAMA Foundation berkongsi komitmen kami untuk memperluas peluang bagi komuniti terpinggir menerusi usaha amal dan pembangunan sosioekonomi yang berterusan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, majlis kerjasama strategik antara pihak terlibat telah dianjurkan sempena Minggu Kelestarian 2026 Bank Islam yang berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober lalu dengan tema 'Impak Inklusif, Tindakan Bermatlamat: Memajukan Kemakmuran untuk Semua'.

Iklan

Kata Raja Teh Maimunah, pihaknya amat menghargai keyakinan dan sokongan yayasan itu kerana ia menggambarkan potensi usaha sama strategik dalam memajukan kewangan sosial dan memacu perubahan signifikan kepada golongan paling memerlukan.

Sebagai fokus awal kerjasama, Bank Islam dan NAMA Foundation akan meneroka peluang melalui Program Pembiayaan Mikro iTEKAD BangKIT Bank Islam.

Ia menyediakan sokongan pembiayaan kepada entiti perniagaan di bawah pertubuhan bukan kerajaan, badan kebajikan dan yayasan yang menjalankan aktiviti menjana pendapatan.

Program itu bertujuan memperkukuh daya tahan kewangan organisasi terlibat, mengurangkan kebergantungan kepada sumbangan serta meningkatkan keupayaan mereka untuk mewujudkan impak yang mampan kepada komuniti.

Dalam pada itu, Bank Islam turut melancarkan program pengurusan sarjana ROOTS yang dipelopori Sadaqa House, iaitu cabang kewangan sosial Bank Islam dengan kerjasama sebuah organisasi sekutu Buku Jalanan Chow Kit, BJCK Sdn Bhd (BJCK) dan ejen perubahan yang diiktiraf Sadaqa House.

Menerusi pementoran, pembangunan kepimpinan dan aktiviti persediaan kerjaya, program tersebut akan memberi manfaat kepada 123 pelajar dengan tujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran dan keyakinan untuk meningkatkan keupayaan akademik serta profesional.

Setakat Jun 2026, portfolio kewangan mampan Bank Islam berjumlah RM33.4 bilion, manakala inisiatif kewangan sosialnya telah menyalurkan RM37.4 juta sepanjang tempoh dari tahun kewangan 2025 hingga Jun 2026, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 4,000 individu dan keluarga.

Sejak penubuhannya pada 2018 pula, Sadaqa House telah berjaya menghimpunkan RM78.5 juta dalam dana sedekah dan amal.