Xiaomi buka premis ke-100, perluas ekosistem teknologi di Malaysia

Iklan
Bersempena pembukaan kedai ke-100, Xiaomi turut menawarkan pelbagai promosi istimewa dari 1 hingga 9 November 2026, termasuk hadiah percuma, ganjaran pembelian serta aktiviti cabutan hadiah menerusi Roda Bertuah.

JENAMA teknologi dan elektronik, Xiaomi terus memperluas penguasaan pasaran tempatan apabila membuka premis yang ke-100 di 118 Mall, sekali gus mencerminkan perkembangan positif jenama teknologi tersebut dalam mendekati pengguna di seluruh negara.

Pencapaian tersebut juga menandakan komitmen syarikat untuk memperluas akses pengguna kepada rangkaian produk dan perkhidmatannya menerusi rangkaian peruncitan yang kini merangkumi 12 negeri.

Iklan
Iklan

Pengurus Xiaomi Malaysia, Xingyu Yang berkata, pembukaan premis ke-100 tersebut mencerminkan peningkatan kepercayaan pengguna tempatan terhadap jenama berkenaan selain permintaan terhadap akses lebih meluas kepada produk dan perkhidmatannya.

Menurutnya, perkembangan rangkaian kedai fizikal berkenaan bukan hanya bertujuan meningkatkan akses kepada produk, malah menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.

Iklan

"Selain menyediakan ruang untuk pelanggan meneroka dan membeli produk, kami mahu kedai Xiaomi menjadi pusat perkhidmatan yang mudah dikunjungi bagi membolehkan pelanggan mencuba sendiri produk kami serta mendapatkan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh penggunaan produk tersebut," katanya dalam kenyataan.

 

Iklan

Sejak pembukaan kedai fizikal pertama pada 2017, Xiaomi secara berperingkat memperluas kehadirannya di Malaysia dengan menawarkan pelbagai produk termasuk telefon pintar, tablet, peranti boleh pakai, peranti rumah pintar serta produk gaya hidup.

Dalam dalam masa sama, rangkaian peruncitan Xiaomi menawarkan sebanyak 340 unit produk jualan (SPU) dan 454 unit simpanan stok (SKU) merangkumi pelbagai kategori produk dalam ekosistem teknologi syarikat berkenaan.

Pendekatan tersebut membolehkan pelanggan meneroka cara produk Xiaomi boleh saling berhubung dan melengkapi keperluan kehidupan seharian, khususnya menerusi integrasi peranti pintar dan teknologi rumah.

Selain itu, pelanggan turut berpeluang mencuba beberapa pilihan peralatan elektrik rumah bersaiz besar secara langsung sebelum membuat keputusan pembelian.

Kemudahan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar produk di premis serta perkhidmatan penghantaran terus ke rumah turut menjadi antara nilai tambah yang ditawarkan bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah.

Bersempena pembukaan kedai ke-100, Xiaomi turut menawarkan pelbagai promosi istimewa dari 1 hingga 9 November 2026, termasuk hadiah percuma, ganjaran pembelian serta aktiviti cabutan hadiah menerusi Roda Bertuah.

Antara tawaran yang disediakan ialah hadiah pemegang kad Xiaomi kepada pelanggan yang mengunjungi kedai berkenaan pada 8 November, selain pemberian botol air Xiaomi dan beg silang eksklusif bagi pembelian yang memenuhi syarat ditetapkan.

Pelanggan yang berbelanja minimum RM500 dalam satu resit dari 1 hingga 8 November pula berpeluang menyertai aktiviti Roda Bertuah untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk Xiaomi 17T Pro, Mi TV P1 43 inci dan REDMI Note 15 5G.

Selain itu, jualan kilat pada 8 dan 9 November menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi produk terpilih Xiaomi, tertakluk kepada stok yang masih ada.