SD Guthrie catat untung bersih RM2.3 bilion bagi 9M FY2026

Iklan
Dari kiri: Shahrizal, Mohd Haris dan Adrianudin ketika Majlis Pengumuman Keputusan Tahun Kewangan Suku Ketiga 2026 (3Q FY2026) SD Guthrie bertempat di St Regis Kuala Lumpur, di sini pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN

SD Guthrie merekodkan keuntungan bersih melebihi RM2.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026 (9M FY2026), meningkat 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, prestasi syarikat kekal berada pada landasan yang kukuh hasil peningkatan sumbangan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) daripada segmen Huluan, Pertengahan (Midstream) dan Pembangunan Perindustrian.

Iklan
Iklan

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3Q FY2026), katanya, SD Guthrie merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM773 juta.

“Prestasi ini dipacu oleh momentum kukuh dalam segmen Pembangunan Perindustrian yang mencatatkan PBIT sebanyak RM770 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 78 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Iklan

“Ia didorong oleh peningkatan pengeluaran, harga komoditi yang berdaya tahan serta peningkatan sumbangan daripada segmen Pembangunan Perindustrian yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Tahun Kewangan Suku Ketiga 2026 SD Guthrie di St Regis Kuala Lumpur pada Khamis.

Iklan

Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan SD Guthrie, Shahrizal Suhainy, dan Ketua Pegawai Eksekutif Upstream Indonesia, Adrianudin Raj Azman.

Menurut Mohd Haris, pengeluaran buah tandan segar (FFB) kumpulan meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, harga purata direalisasikan bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) masing-masing meningkat tiga peratus dan tujuh peratus kepada RM4,340 serta RM3,342 bagi setiap tan metrik.

Beliau berkata, harga MSM dijangka kekal berdaya tahan dengan potensi peningkatan berterusan sehingga 2027.

Mohd Haris - Foto: SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN.

Menurutnya, penurunan pengeluaran bermusim berpotensi mengurangkan inventori secara beransur-ansur walaupun sentimen pasaran jangka pendek mungkin dipengaruhi oleh paras inventori yang tinggi dan permintaan eksport yang lebih perlahan.

“Permintaan pasaran terus disokong oleh mandat biodiesel B50 Indonesia, manakala harga minyak mentah yang tinggi dijangka memberi sokongan tambahan dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik.

“Perkembangan El Nino kekal sebagai risiko utama dari sudut bekalan berikutan kemungkinan kesannya terhadap hasil perladangan dan bekalan minyak sawit pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata SD Guthrie akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti dan daya tahan terhadap perubahan iklim dalam operasi Huluannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan itu akan memperkukuh peranan segmen Pertengahan sebagai penghubung strategik antara operasi Huluan dan Hiliran bagi meningkatkan pengagregatan minyak, integrasi rantaian bekalan dan jaminan bekalan bahan mentah.

“Bagi memperkukuh daya saing dalam keadaan pasaran yang mencabar, perniagaan Hiliran akan terus membangunkan portfolio yang lebih kompetitif di samping meningkatkan kecekapan operasi.

“Pencapaian segmen Pembangunan Perindustrian dan Tenaga Boleh Baharu mengukuhkan komitmen SD Guthrie untuk terus mengembangkan kedua-dua perniagaan tersebut yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada kepelbagaian pendapatan serta penciptaan nilai jangka panjang.

“Melangkah ke hadapan, SD Guthrie kekal positif terhadap prospek FY2026, disokong oleh model perniagaan yang bersepadu dan berdaya tahan,” katanya.