MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) diminta mengelakkan provokasi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dan mengemukakan hujah berasaskan fakta, apabila berbeza pandangan dengan lawan politik.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keutamaan calon ketika ini ialah bertemu pengundi dan mendengar masalah yang dibangkitkan, serta memahami perkara yang penting bagi mereka.
"Saya tak nafikan calon-calon kita bukan sempurna keseluruhannya. Tetapi kita akan memastikan calon-calon kita tidak melakukan provokasi kepada sesiapa, walaupun ada isu dibangkitkan.
"Kalau ada perbezaan, kemukakan dengan hujah,” kata calon bagi DUN Bukit Katil itu pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Baru di sini pada Khamis.
Memberikan contoh penggunaan perkataan 'sakau' dalam kempen, Adly berkata, istilah itu mungkin dianggap sebagai provokasi, namun isu yang mendasarinya termasuk akauntabiliti dan ketelusan, wajar dibincangkan kerana perkara yang berlaku pada peringkat nasional turut memberi kesan kepada rakyat Melaka.
Dalam pada itu, beliau turut membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan"Dajjal”.
"Adakah Pas mahu terus mempertahankan politik melabel? PH Melaka menolak sentimen agama untuk menakutkan rakyat dan menegaskan persaudaraan sesama Islam, penghormatan sesama manusia serta keadilan kepada semua adalah asas kerukunan Malaysia.
"Jadi rakyat wajar menilai dan perjanjian politik mesti dinilai melalui kandungan dan hujah, bukannya label agama yang melampau,” katanya.
Pada Rabu, Abdul Hadi menerusi hantaran di media sosial menyifatkan CSA sebagai pendekatan dajjal pada akhir zaman, yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
Pada 29 Oktober, Kerajaan Madani menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain, termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain komitmen untuk menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027), CSA itu turut menetapkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi yang ingin dibentangkan kerajaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal pada 10 November. - Bernama