KOTA BHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendedahkan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menerbangkan migran dari Singapura ke Phuket sebelum membawa mereka merentasi Thailand melalui jalan darat dan memasuki Malaysia menggunakan bot menerusi perairan Kelantan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah berkata, laluan berperingkat itu dipercayai digunakan sindiket bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa serta membawa masuk PATI tanpa melalui pintu masuk yang sah.
“Setiap pendatang dipercayai perlu membayar antara RM3,500 hingga RM10,000 kepada sindiket bagi membolehkan mereka memasuki Malaysia menerusi laluan haram berkenaan.
“Modus operandi itu dikenal pasti hasil siasatan terhadap tangkapan PATI sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kadar bayaran bergantung kepada lokasi asal dan kewarganegaraan pendatang, dengan warga dari negara Timur Tengah dipercayai dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding warga Indonesia atau Bangladesh.
Mohd Zawawi berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga Oktober 2026, seramai 334 PATI pelbagai warganegara ditahan di perairan Kelantan menerusi 45 kes melibatkan kemasukan PATI dan tekong.
Jelasnya, warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 166 orang, diikuti Vietnam (61), Thailand (42), Kemboja (18), Indonesia (13), India (11), Bangladesh (empat), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).
“Lebih membimbangkan, seramai 189 PATI ditahan di perairan Kelantan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja.
“Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand menjadikan perairan negeri ini terdedah kepada aktiviti penyeludupan manusia selain menjadi laluan penyeludupan dadah dan barangan kontraban,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 2023 hingga Oktober 2026, nilai keseluruhan rampasan melibatkan pelbagai aktiviti penyeludupan di Kelantan dianggarkan mencecah RM19.56 juta.
Mengulas mengenai Operasi Redback 23, Mohd Zawawi berkata, operasi yang pertama kali dilaksanakan di Kelantan dan Pantai Timur itu melibatkan kawasan perairan seluas 1,716 kilometer persegi bermula dari Kuala Semerak, Tok Bali hingga Kuala Guntung, Tumpat.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan Australian Border Force (ABF) bukan sahaja memperkukuh keupayaan rondaan dan pengawasan, malah meningkatkan perkongsian maklumat serta kepakaran dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.