PETALING JAYA – Sebanyak 20,000 pelitup muka disumbangkan kepada komuniti rentan dan golongan kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat KFC Malaysia.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kechara Soup Kitchen (KSK) dan The Lost Food Project (TLFP) bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk gelandangan serta keluarga berpendapatan rendah.
Ketua Tadbir Urus QSR Brands (M) Holdings Bhd, Sahada Salihin berkata, tanggungjawab syarikat bukan sekadar menyediakan hidangan berkualiti, malah turut merangkumi usaha menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, sumbangan 20,000 pelitup muka itu merupakan langkah bermakna dalam memberikan perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang berdepan cabaran kehidupan seharian.
“Kami percaya tanggungjawab kami melangkaui usaha menyediakan hidangan berkualiti. Kami komited menjadi pemangkin positif dalam komuniti serta membantu mereka yang berdepan cabaran kehidupan seharian.
“Melalui kerjasama erat dengan Kechara Soup Kitchen dan The Lost Food Project, kami dapat memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang paling memerlukannya,” katanya.
Majlis simbolik penyerahan sumbangan itu berlangsung di Menara QSR, dengan wakil kedua-dua NGO terbabit menerima pelitup muka bagi pihak komuniti yang dibantu.
Secara keseluruhan, kedua-dua NGO berkenaan menjangkau hampir 8,000 penerima manfaat di sekitar Lembah Klang termasuk penghuni rumah kebajikan dan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR).
Dalam fasa pertama inisiatif itu, wakil KFC Malaysia turut menyertai sukarelawan kedua-dua NGO dalam aktiviti pengagihan pelitup muka dan pek makanan KFC kepada komuniti gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.
Bagi fasa kedua pula, program itu akan disepadukan dengan Program KFC Harvest, iaitu inisiatif penyelamatan lebihan makanan yang dilaksanakan KFC Malaysia menerusi restoran terpilih sebelum diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
Menerusi program tersebut, penerima manfaat di rumah kebajikan dan pusat komuniti terpilih akan menerima pelitup muka, hidangan KFC yang disediakan segar serta sumbangan ayam sejuk beku.
Program KFC Harvest yang diperkenalkan di Malaysia pada 2019 menjadi antara platform utama syarikat dalam mengurangkan pembaziran makanan selain membantu meningkatkan keterjaminan makanan dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan.
Sejak diperkenalkan, program itu berkembang dengan penyertaan 170 restoran KFC di seluruh negara dan berjaya mengagihkan semula lebih 61,000 kilogram lebihan makanan, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan individu dan keluarga.