PPZ-MAIWP salur RM70,000 kepada 14 badan kebajikan, surau media

Iklan
PPZ-MAIWP menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan atau surau media disampaikan Zulkifli (dua dari kiri) termasuk kepada Nu Ideaktif diwqkili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamil Fahim Mohamed Fahim (dua dari kanan)

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan atau surau media bagi menyokong usaha membantu warga media yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan PPZ-MAIWP terhadap kebajikan keluarga besar media, termasuk petugas yang berdepan pelbagai ujian kehidupan.

Iklan
Iklan

Menurut Zulkifli, pihaknya turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat secara simbolik kepada empat penerima yang layak dalam kalangan warga media, membabitkan keperluan kewangan, perubatan dan kaki palsu.

"Mudah-mudahan bantuan ini memberikan kelegaan serta membantu penerima dan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 di sini, malam ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dalam kesibukan warga media membawa kisah orang lain kepada masyarakat, terdapat juga petugas media dan pasukan sokongan yang sedang melalui ujian kehidupan, termasuk memikirkan kos rawatan serta keperluan persekolahan anak.

Iklan

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menyesuaikan kehidupan selepas berhadapan masalah kesihatan, selain mempunyai keluarga yang bergantung harap dan kebimbangan yang perlu dikongsi.

Sehubungan itu, beliau berkata, keprihatinan PPZ-MAIWP turut merangkumi pembayar zakat dan keluarga mereka menerusi Skim Kafalah Muzakki yang menyediakan sumbangan khairat kematian sehingga RM3,000 kepada waris pembayar zakat.

Selain itu, Wakalah Majikan membuka ruang kepada organisasi media yang memenuhi syarat untuk memohon pengembalian sebahagian zakat kakitangan yang dibayar melalui potongan gaji kepada PPZ-MAIWP.

"Dana berkenaan kemudiannya boleh diagihkan kepada asnaf yang layak, termasuk dalam kalangan warga kerja organisasi itu sendiri.

"Melalui pendekatan ini, pihak majikan dapat turut menyantuni keperluan mereka yang dekat dengan organisasi," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, media memainkan peranan penting membantu PPZ-MAIWP meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan menunaikan zakat.

Menurutnya, usaha mengajak masyarakat menunaikan zakat bermula dengan kefahaman, termasuk menjelaskan persoalan berkaitan kewajipan berzakat dan kaedah pengiraannya.

"Melalui perbualan di radio, temu bual televisyen, artikel akhbar dan kandungan digital, penjelasan mengenai zakat dapat disampaikan dalam kehidupan seharian masyarakat," katanya.

Menurutnya, PPZ-MAIWP menyediakan khidmat nasihat, membantu pengiraan serta menyediakan saluran pembayaran, manakala media membantu masyarakat mengetahui dan memahami kemudahan berkenaan.

"PPZ-MAIWP menyediakan khidmat, saudara dan saudari membantu mendekatkannya kepada mereka yang memerlukan. Begitulah kita saling melengkapi," tambahnya.

Beliau turut mengajak rakan media beragama Islam melihat pekerjaan menyampaikan maklumat dan ilmu sebagai sebahagian daripada usaha mengajak masyarakat melakukan kebaikan.

Merujuk hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya, beliau berkata, terdapat ganjaran bagi mereka yang menyampaikan ilmu dan membuka jalan kepada kebaikan.

Tambahnya, penulisan atau penerangan media yang menjadi asbab seseorang menunaikan zakat atau wakaf diharap turut memberikan ganjaran kepada individu yang menyampaikan maklumat berkenaan.

Menurutnya, sebuah artikel yang membantu pembaca memahami zakat pendapatan, misalnya, boleh mendorong mereka menunaikannya sebelum berkongsi kefahaman itu dengan pasangan, rakan sekerja atau ahli keluarga.

"Perkara itu antara makna ungkapan 'Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada dakwah' yang dibawa PPZ-MAIWP pada majlis ini," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada wartawan, jurugambar, kru kamera, editor, penerbit, penyampai dan seluruh pasukan sokongan media atas kerjasama yang terjalin selama ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami pengorbanan warga media yang perlu mencurahkan masa, tenaga dan perhatian, termasuk menjalankan tugasan jauh daripada keluarga serta menyiapkan laporan sehingga lewat malam.

Majlis itu turut menyaksikan penganjuran Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP bagi meraikan ketekunan, bakat dan kreativiti warga media dalam menghasilkan karya berkaitan zakat dan wakaf.

Sinar Harian muncul johan bagi Kategori Media Cetak & Portal Berita menerusi penyertaan Muhamad Tarmize Mohd Nor pada Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026.

Sementara itu, Sinar Harian muncul johan bagi Kategori Media Cetak & Portal Berita menerusi penyertaan Muhamad Tarmize Mohd Nor pada Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026.

Zulkifli berkata, penghargaan turut diberikan kepada Malaysian Press Institute (MPI) sebagai rakan strategik yang menguruskan proses penilaian dan penjurian menerusi panel berpengalaman.

"Kerjasama itu memberikan pengiktirafan bermakna kepada mutu karya berkaitan zakat dan wakaf," katanya.

Beliau berharap hubungan kerjasama antara PPZ-MAIWP dengan media terus diperkukuh bagi memastikan ilmu disampaikan, kefahaman dibuka dan lebih banyak kebaikan dapat dicetuskan dalam masyarakat.