Guru wanita dicekik hingga mati gara-gara desakan berkahwin

Iklan
Suspek (berdiri, tengah) menjalinkan hubungan terlarang dengan mangsa. Foto Agensi

LUCKNOW - Gara-gara didakwa didesak untuk berkahwin, seorang pengurus sekolah di Uttar Pradesh, India tergamak membunuh seorang guru wanita lalu menyimpan mayat mangsa di dalam but keretanya sepanjang hari sebelum membuangnya di kawasan berhampiran.

Suspek, Vijay Nishad ditahan polis Rudrapur bersama Kumpulan Operasi Khas (SOG) selepas siasatan kes pembunuhan itu dilancarkan.

Iklan
Iklan

Mangsa, Rani Vishwakarma, 26, merupakan guru di V N Central Academy di Nai Bazar, Chauri Chaura di daerah Gorakhpur yang bersempadan dengan Deoria.

Siasatan awal polis mendapati Nishad mempunyai hubungan rapat dengan mangsa. Bagaimanapun, suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Iklan

Penyiasat mendakwa mangsa berulang kali mendesaknya supaya mengahwininya sehingga mencetuskan ketegangan antara mereka.

Ketua Polis Deoria, Abhijeet R Shankar berkata, kejadian berlaku pada 31 Oktober lalu apabila Vishwakarma tiba di sekolah dan sekali lagi membangkitkan soal perkahwinan dengan suspek.

Iklan

Pelaku dikatakan cuba memujuk mangsa, namun pertengkaran tercetus antara mereka.

Nishad kemudiannya membawa mangsa menggunakan kereta Maruti WagonR putih miliknya ke sebuah jalan terpencil di luar kampung Meetha Bel.

"Dia bertindak mencekik mangsa sehingga mati di tempat duduk belakang kereta selepas usaha untuk berbincang gagal," ujar jurucakap polis.

Suspek meletakkan mayat mangsa di dalam but kereta dan memandu ke beberapa lokasi sepanjang hari sebelum menunggu untuk membuang mayat itu pada waktu malam.

Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita di kawasan semak tepi jalan. Siasatan pihak berkuasa membawa kepada penahanan suspek dan penemuan beberapa barang bukti.

Prosedur teknikal dan forensik turut dijalankan sepanjang siasatan itu sebelum memperoleh sabitan terhadap suspek. - Agensi