Penduduk Palestin kembali ke Hebron

Iklan
Keadaan terkini kawasan kejiranan Ein Deir Baha di Hebron selepas dikenakan lockdown selama lebih seminggu. Foto AFP

HEBRON - Beberapa keluarga yang diusir mula kembali ke kediaman masing-masing sejak awal minggu lalu susulan pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di bandar Hebron, Tebing Barat.

Datuk Bandar, Yousef al-Jaabari berkata, sebahagian penduduk Palestin di kawasan kejiranan al-Jaladah dan Ein Deir Baha tetap pulang ke rumah mereka yang telah musnah.

Iklan
Iklan

Banyak struktur turut dirobohkan tanpa perikemanusiaan.

Ketika penduduk mula kembali ke kawasan kejiranan yang terjejas, Pasukan Pertahanan Awam Palestin memberi amaran supaya mereka tidak memasuki bangunan yang rosak atau menyentuh objek mencurigakan yang boleh mendatangkan bahaya sebelum pemeriksaan keselamatan dilakukan.

Iklan

Sepasang suami isteri memanjatkan rasa syukur kerana dapat pulang semula ke rumah mereka. Foto AFP

Sebelum ini, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengenakan sekatan menyeluruh di kawasan berkenaan hingga memaksa keluarga meninggalkan kediaman sebelum menjadikannya sebagai pos tentera.

Iklan

Bagaimanapun, sekatan pergerakan masih dikenakan di pintu masuk bandar itu meskipun tentera Israel sudah berundur.

Menurut data Majlis Perbandaran Hebron, operasi selama 10 hari itu menyebabkan 491 keluarga Palestin terdiri daripada kira-kira 3,189 penduduk hilang tempat tinggal.

Jurucakap IDF mengesahkan pengunduran pasukan tentera mereka kononnya selepas operasi menyeluruh di beberapa lokasi dan prosedur menyoal siasat individu selesai.

Beberapa individu memeriksa bahagian bumbung sebuah bangunan yang diletupkan rejim Zionis. Foto AFP

Rejim Zionis turut merobohkan rumah milik dua individu yang didakwa terlibat serangan di pos pemeriksaan pada 23 Oktober lalu dan menimbus sebuah ruang bawah tanah berhampiran salah satu hartanah tersebut.

Operasi ketenteraan itu mendapat perhatian dan kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada minggu lalu, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk memberi amaran tindakan semberono pemindahan paksa, merobohkan kediaman dan mengenakan sekatan pergerakan menyeluruh menimbulkan kebimbangan serius berhubung penggunaan tindakan kekerasan melampau.

“Hukuman kolektif merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa,” tegas Turk.

Beliau menggesa supaya penduduk Palestin dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan diberikan pampasan atas tindakan pengusiran serta perobohan yang menyalahi undang-undang.

Dua kanak-kanak bersama keluarga mereka gembira dapat kembali ke kediaman setelah diusir secara paksa. Foto AFP

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perbandaran Hebron bersama penduduk yang terjejas turut mencabar kempen pencerobohan itu di Mahkamah Agung Israel menerusi satu petisyen bagi menuntut agar tindakan pemindahan paksa, perobohan kediaman dan sekatan pergerakan dihentikan serta-merta.

Petisyen yang dikemukakan pada 29 Oktober lalu oleh pertubuhan hak asasi dan bantuan perundangan itu mendakwa langkah tersebut merupakan satu bentuk hukuman kolektif yang bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. - Agensi

INFO

  • IDF merobohkan 15 rumah dan struktur lain selain memaksa 327 premis perniagaan ditutup sepanjang kempen pencerobohan itu.
  • Beberapa rumah penduduk Palestin turut dirampas dan dijadikan berek tentera yang digunakan sebagai pusat soal siasat lapangan.
  • Pihak majlis perbandaran menganggarkan kerugian ekonomi secara langsung melebihi AS$3.8 juta (RM15.5 juta) sehari manakala kerosakan terhadap infrastruktur melebihi AS$1.9 juta (RM7.7 juta) dan kerugian dalam sektor kesihatan serta alam sekitar dianggarkan mencecah AS$160,000 (RM652,048).
  • Kira-kira 80,000 pelajar di Hebron tidak dapat menghadiri sesi persekolahan sepanjang tempoh 10 hari itu.