Singapura perketat undang-undang jerebu, tingkat denda dan penguatkuasaan

Iklan
Pindaan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) akan memperkukuh kedudukan Singapura sebagai sebuah negara yang mempunyai piawaian alam sekitar yang diyakini dan teguh. Gambar hiasan/Agensi

SINGAPURA - Parlimen Singapura pada Rabu meluluskan pindaan terhadap Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), dengan perubahan utama termasuk peningkatan denda maksimum serta pengukuhan kuasa siasatan dan penguatkuasaan terhadap entiti yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Pindaan itu meningkatkan denda maksimum bagi kesalahan utama sebanyak 10 kali ganda daripada S$2 juta (S$1=RM3.18) kepada S$20 juta, manakala denda harian dinaikkan daripada S$100,000 kepada S$1 juta bagi perbuatan menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran tanah atau hutan yang berisiko mengakibatkan jerebu di Singapura.

Iklan
Iklan

Pindaan berkenaan turut memperluas kuasa siasatan bagi mengesan hubungan komersial serta mengenakan sekatan terhadap pelbagai urusan perniagaan dan rantaian bekalan untuk memastikan entiti yang terlibat dipertanggungjawabkan, selain menghapuskan halangan undang-undang terhadap penguatkuasaan selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu berkata, pindaan itu akan memperkukuh kedudukan Singapura sebagai sebuah negara yang mempunyai piawaian alam sekitar yang diyakini dan teguh.

Iklan

"Jerebu rentas sempadan merupakan isu yang kompleks, namun kami komited untuk melakukan apa yang termampu dalam bidang kuasa kami bagi mengurangkan dorongan terhadap amalan perhutanan dan pertanian yang tidak mampan.

"Pindaan yang kami lakukan menunjukkan komitmen kami untuk memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan serta membendung manfaat ekonomi yang diperoleh syarikat yang terlibat atau mempunyai kaitan dengan amalan menyalahi undang-undang," katanya ketika menggulung perbahasan di Parlimen.

Iklan

Grace berkata, Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan serantau, termasuk menerusi peranannya sebagai tuan rumah Pusat Meteorologi Khusus ASEAN dan selaku Pengerusi ASEAN pada 2027, bagi memperkukuh keupayaan jangka panjang blok itu menangani jerebu rentas sempadan.

"THPA bukan penyelesaian tunggal, sebaliknya satu daripada pelbagai instrumen yang perlu digunakan untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), Simon Tay berkata, pindaan berkenaan akan memperketat hukuman terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

"THPA merupakan instrumen perundangan yang boleh digunakan terhadap syarikat korporat dan akan membolehkan Singapura mengambil tindakan berkesan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Simon mengingatkan bahawa undang-undang yang lebih ketat sahaja tidak mampu mencegah kejadian jerebu pada masa hadapan, khususnya dalam keadaan perubahan iklim.

"Kerjasama dalam kerangka ASEAN serta dengan Indonesia dan negara jiran juga amat penting," tambahnya. - Bernama