Tanah runtuh korban doktor: Kelulusan projek dibuat secara kolektif, bukan keputusan Ketua Menteri - Mooi Lye

Iklan
Kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor pada 25 Oktober lalu. Foto kecil: Mooi Lye

GEORGE TOWN – Segala keputusan berkaitan kelulusan projek pembangunan di Lebuh Rambai 13, Paya Terubong yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh pada 25 Oktober lalu merupakan keputusan kolektif kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bukannya keputusan individu Ketua Menteri.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, kelulusan projek berkenaan dibuat oleh pihak berkuasa negeri dan PBT mengikut proses serta bidang kuasa masing-masing.

Iklan
Iklan

Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi itu, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda rumahnya ketika sedang menyediakan sarapan untuk keluarganya.

Iklan

Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67 dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Mooi Lye berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi berkenaan.

Menurutnya, siasatan itu merangkumi aspek keselamatan, pembinaan, reka bentuk serta pematuhan terhadap peraturan berkaitan.

“Pihak JKKP telah mengadakan perbincangan dengan jurutera perunding awam, perunding geoteknikal, pemaju dan kontraktor pada 3 November 2026 bagi memahami serta menyiasat punca sebenar kejadian.

“Perbincangan itu turut melibatkan cadangan langkah mitigasi dan penstabilan tapak yang bersesuaian,” katanya.

Beliau menambah, JKKP turut mendapatkan maklumat dan keterangan daripada pihak pemaju, kontraktor serta perunding yang terlibat dalam projek pembangunan di kawasan berkenaan.

"Kerajaan negeri masih menunggu hasil siasatan JKKP sebelum sebarang kerja mitigasi dan kerja-kerja di tapak dapat dimulakan," ujarnya.

Mengulas persoalan berhubung ketiadaan arahan henti kerja ketika pemeriksaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Ogos lalu, Mooi Lye berkata, arahan berkenaan hanya dikeluarkan sekiranya kerja pembangunan kritikal didapati tidak selaras dengan pelan diluluskan serta syarat kelulusan ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan tapak pada bulan berkenaan, MBPP telah mengeluarkan surat peringatan kepada jurutera perunding yang dilantik pemaju.

"Surat itu mengandungi teguran dan arahan penambahbaikan berkaitan kawalan pencemaran, penyelenggaraan komponen kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) serta perlindungan cerun yang telah disentuh atau dipotong.

“Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada mekanisme pemantauan dan kawalan MBPP bagi memastikan pihak pemaju mengambil tindakan pembetulan serta mematuhi kehendak dan syarat kelulusan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, tanggungjawab penyeliaan teknikal dan pemantauan harian kerja pembinaan di tapak tertakluk kepada pemaju, kontraktor, jurutera perunding dan perunding geoteknikal yang dilantik mengikut bidang kuasa serta skop tanggungjawab profesional masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ketinggian 'footprint' bangunan bagi projek pembangunan Rumah Mampu Milik 35 tingkat di atas sebahagian Lot 20409, Lot 20411, Lot 10290, Lot 10292 dan sebahagian Lot 20344 tidak melepasi kontur 76 meter (250 kaki).

"Pembangunan infrastruktur seperti jalan dan utiliti dibenarkan tertakluk kepada syarat ketat dalam Laporan Geoteknikal yang diluluskan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Berisiko pada 10 April 2023.

"MBPP sentiasa mengambil kira aspek keselamatan pembangunan di kawasan berbukit berdasarkan Penang Safety Guideline for Hill Site Development, Edisi Kedua 2020 khususnya berkaitan kawalan pembangunan, kestabilan cerun dan keselamatan kawasan kediaman berhampiran," katanya lagi.

Mengulas sejarah kelulusan projek berkenaan, Mooi Lye berkata, permohonan kebenaran merancang di tapak itu telah dikemukakan sejak 1996 oleh MBSB Development Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan dua blok pangsapuri kos sederhana 16 tingkat, satu blok pangsapuri 13 tingkat serta 72 blok rumah kediaman linked enam tingkat.

"Kebenaran merancang bagi cadangan asal itu diluluskan pada 20 April 2006 sebelum beberapa permohonan pembangunan dan pertukaran pemilik kebenaran merancang dikemukakan pada tahun-tahun berikutnya.

"Pada 2022, Geo Valley Sdn Bhd mengemukakan permohonan bagi pembinaan satu blok yang terdiri daripada dua menara Rumah Mampu Milik 35 tingkat dan lapan tingkat lower ground.

"MBPP kemudiannya menerima permohonan penyerahan kebenaran merancang daripada Geo Valley Sdn Bhd kepada Sunrich Conquest Sdn Bhd pada 2023 bagi pembangunan berkenaan," katanya lagi.