GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai perancangan khusus untuk membangunkan tanah miliknya di Pulau Jerejak, Bayan Lepas.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beberapa cadangan pembangunan bercampur serta kemudahan infrastruktur dan rekreasi telah dikemukakan pemaju swasta.
Menurutnya, cadangan pembangunan di pulau berkenaan ketika ini berasaskan inisiatif pihak swasta dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
"Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tapak pembinaan jambatan dari Persiaran Bayan Indah berhampiran Queensbay ke Pulau Jerejak seluas 0.8 hektar telah diluluskan pada 2023.
“LPS berkenaan diperbaharui setiap tahun sehingga 2026 dengan bayaran RM12,300 setahun,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Joshua Woo (DAP-Pulau Tikus) mengenai perancangan kerajaan negeri atau pemilik tanah persendirian untuk membangunkan Pulau Jerejak.
Tambah Kon Yeow, pelaksanaan cadangan pembangunan di pulau itu perlu memenuhi syarat kelulusan perancangan, urusan tanah serta keperluan teknikal dan perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
Sebelum ini, dilaporkan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pulau Jerejak dengan bahagian utama Pulau Pinang sepanjang satu kilometer dengan kos RM500 juta bermula tahun ini.
Pulau Jerejak merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Pulau Pinang, dengan kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan pulau itu telah diwartakan sebagai hutan simpan dan tidak boleh disentuh.