TAWAU - Seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan kira-kira 30 rumah di Kampung Sentosa Blok 4, Hilltop, Jalan Utara di sini pagi Rabu.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Moiley Milin berkata, anggota bomba menemukan mangsa rentung dikenali sebagai Jackson Zack, 12, di dalam bilik.
"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi dan jentera membawa 47 anggota tiba di lokasi pada jam 6.47 pagi, semasa tiba didapati enam rumah terbakar.
"Antara cabaran dihadapi pasukan bomba semasa pemadaman api termasuk ketiadaan pili bomba, jalan sempit dan keadaan rumah rapat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Moiley dalam pada itu menasihatkan semua pihak agar sentiasa menjaga keselamatan kebakaran dan menyarankan supaya menyediakan satu alat pemadam api di setiap rumah, sebagai langkah awal pemadaman api.
Sementara itu, seorang mangsa, Bakri Syarifuddin berkata, kebakaran berlaku ketika dia sedang menghantar anaknya ke sekolah, sebelum dihubungi adik yang memberitahu rumahnya mungkin turut terbakar.
"Saya bergegas pulang ke rumah dan saya lihat rumah terbakar, kejadian huru-hara sebab awal pagi, jiran-jiran juga sibuk menyelamatkan diri dan barang-barang.
"Ketika itu isteri juga baru pulang rumah dari tempat keluarga meninggal, hanya dokumen diri dapat diselamatkan yang lain semua musnah,” katanya.
Dalam pada itu, Bakri, 40-an turut menangis dan berkata, mangsa rentung merupakan anak saudara kepada isterinya.
"Keluarga lain masih menangis, bersedih kerana kehilangan anak saudara kami yang juga autisme,” katanya. - Bernama