SHAH ALAM - Keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bekas isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan kritikal dan kini sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Perkhabaran duka itu dikongsikan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib di Facebook pada Rabu.
"Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa daripada seluruh sahabat handai, saudara-mara dan kenalan agar sama-sama mendoakan kesihatan bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah yang kini sedang menerima rawatan di ICU.
"Kami sekeluarga amat mengharapkan doa daripada semua. Semoga setiap doa yang dititipkan menjadi asbab rahmat dan pertolongan ALLAH SWT. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.
Dalam hantaran berbeza, akaun Facebook Najib Razak turut memuat naik perkongsian sama mengenai keadaan kesihatan Tengku Puteri Zainah.
"Kami mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.
"Semoga ALLAH SWT mengangkat segala kesakitan, mempermudahkan urusan rawatan dan mengurniakan kesembuhan yang terbaik buat beliau," ujarnya.
Dalam satu kenyataan, beliau dikatakan sedang menerima rawatan di ICU Aras 1 Hospital Gleneagles Ampang.
Tengku Puteri Zainah, 65, merupakan ibu kepada Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.