WASHINGTON - Parti Demokrat memperoleh kemenangan penting dalam usaha menguasai Senat Amerika Syarikat (AS) selepas bekas Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper, menewaskan calon Republikan yang disokong Presiden Donald Trump dalam pilihan raya Senat negeri itu pada Selasa.
Menurut unjuran media AS, Cooper berjaya mengatasi Michael Whatley sekali gus merampas kerusi yang sebelum ini dipegang Parti Republikan.
Kemenangan itu dilihat sebagai rangsangan besar kepada Demokrat yang sedang berusaha mengurangkan penguasaan Republikan di Senat.
Sebelum pilihan raya, Republikan menguasai Dewan Senat dengan majoriti 53 berbanding 47 kerusi, manakala Demokrat memerlukan tambahan bersih empat kerusi untuk mengambil alih kawalan.
Cooper, 69, merupakan bekas gabenor dua penggal yang mempunyai pengaruh besar di Carolina Utara dan dikenali ramai pengundi di seluruh negeri.
Sepanjang kempen, beliau memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, termasuk kenaikan harga makanan dan tenaga, ketika kadar sokongan terhadap Trump dilaporkan merosot.
Beliau bakal menggantikan Senator Republikan Thom Tillis yang memutuskan untuk bersara selepas berselisih pendapat dengan Trump berhubung pengurangan peruntukan Medicaid dalam undang-undang cukai dan perbelanjaan utama pentadbiran presiden itu.
Kelebihan pengenalan nama yang dimiliki Cooper turut membantu beliau membina kedudukan kukuh dalam tinjauan pendapat, dengan sokongan ketara daripada pengundi bebas yang menjadi kelompok penting di negeri tersebut.
Sementara itu, Whatley yang sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Nasional Republikan (RNC), tidak pernah menyandang sebarang jawatan yang dipilih melalui pilihan raya.
Beliau berkempen bersama Trump di Carolina Utara dan mendapat sokongan penuh presiden berkenaan.
Pada 2024, Trump menyokong pelantikan Whatley sebagai pengerusi RNC bagi menggantikan Ronna McDaniel.
Bersama Lara Trump sebagai pengerusi bersama, beliau mengetuai usaha parti itu memantau integriti pilihan raya dengan menggerakkan kira-kira 100,000 sukarelawan dan peguam Republikan di negeri-negeri penentu menjelang pilihan raya presiden 2024.
Kemenangan Cooper dijangka memberi impak besar terhadap persaingan menguasai Senat, yang memainkan peranan penting dalam meluluskan dasar pentadbiran serta pengesahan pelantikan hakim dan pegawai kanan kerajaan AS. - AWANI