WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa Washington akan menghentikan bantuan tahunan berjumlah AS$3.8 bilion (RM15.5 bilion) kepada Israel, sekali gus menamatkan sokongan kewangan ketenteraan yang telah sekian lama diberikan kepada sekutu rapatnya itu.
Pengumuman itu dibuat ketika rakyat AS keluar mengundi pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang menyaksikan isu sokongan terhadap rejim Tel Aviv menjadi antara perkara yang hangat diperdebatkan.
Menerusi temu bual bersama Fox News Trump berkata, keputusan untuk menghentikan bantuan berkenaan telah dipersetujui beberapa bulan lalu. Di bawah perjanjian sedia ada, Israel menerima bantuan tahunan itu bagi membiayai pembelian peralatan dan persenjataan ketenteraan.
Beliau turut mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak membantah keputusan tersebut kerana sekutunya itu sudah berupaya untuk berdiri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kewangan Washington.
Bagaimanapun, beliau menegaskan AS masih bersedia membantu Israel sekiranya ia berdepan keperluan tertentu pada masa hadapan.
Sejak penubuhan negara haram itu pada 1948, Tel Aviv telah menerima lebih AS$300 bilion (RM1.2 trilion) dalam bentuk bantuan ekonomi dan ketenteraan daripada Washington selepas mengambil kira faktor inflasi. Jumlah itu menjadikan Israel negara penerima bantuan AS terbesar dalam tempoh berkenaan.
Pada Mei lalu, Netanyahu juga memberi bayangan mahu mengurangkan kebergantungan Israel terhadap bantuan AS sehingga sifar.
Keputusan Trump itu bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai bukti kelemahan kepimpinan Netanyahu.
"Ia mencerminkan betapa seriusnya kegagalan pemimpin Parti Likud itu dalam mengendalikan hubungan bersama AS kerana kami hanya mengetahui perubahan dalam hubungan strategik menerusi laporan media, sama seperti orang awam. Beliau tidak lagi boleh dipercayai dan perlu digantikan," ujarnya yang dianggap 'lebih radikal' berbanding Netanyahu oleh beberapa pemerhati politik. - AFP