Jurang Iran-AS capai persetujuan tamat perang masih besar

Iklan
Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan cahaya terang menerangi ruang udara di Pulau Qeshm, Iran mencetuskan spekulasi berlaku serangan udara.

DUBAI - Jurang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) masih jauh dalam konteks mencapai persetujuan untuk kedua-dua negara menamatkan perang, menurut seorang pegawai kanan Iran pada Rabu.

Qatar pula dilaporkan terus meningkatkan usaha sebagai pengantara bagi merapatkan jurang perbezaan dan mengelak konflik kembali memuncak selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.

Iklan
Iklan

AS pada sebelah malam melancarkan serangan yang disifatkan sebagai tindakan pertahanan di Pulau Qeshm, Iran, menyasarkan peluru berpandu didakwa digunakan untuk menyerang aset ketenteraan negaranya.

Seorang lagi pegawai AS memaklumkan bahawa serangan itu kelihatan terhad dan tidak menunjukkan bahawa AS akan kembali melancarkan operasi ketenteraan berskala besar.

Iklan

Presiden AS, Donald Trump pada Selasa sekali lagi mengeluarkan ancaman kemungkinan tindakan ketenteraan.

"Saya tidak berniat untuk membunuh ramai orang. Tetapi jika terpaksa, kami akan melakukannya," kata Trump ketika ditemu bual Fox News Channel.

Iklan

Qatar meningkatkan usaha pengantaraan susulan kebimbangan konflik yang dimulakan oleh AS dan Israel pada Februari lalu itu mungkin kembali tercetus selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.

Jurucakap Iran yang enggan mendedahkan namanya berkata, pihak pengantara sedang berusaha keras untuk merapatkan jurang perbezaan antara Tehran dan Washington.

Wakil pengantara Qatar sudah berkunjung ke Tehran pada malam Isnin lalu bagi mengadakan perbincangan mengenai satu draf perjanjian antara AS dan Iran yang dibincang sepanjang lapan hari lepas.

Kata pegawai Iran, syarat-syarat Tehran mesti dipenuhi sekiranya AS mahu Selat Hormuz dibuka semula.

Beliau merujuk tuntutan Iran merangkumi penghapusan sekatan terhadap eksport minyak, penamatan sekatan laut oleh AS serta pembebasan dana milik Iran yang dibekukan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei kemudiannya berkata, maklum balas AS terhadap tuntutan negaranya tidak begitu meyakinkan.

Beliau menegaskan bahawa Washington mesti menangani sepenuhnya dan melaksanakan tujuh syarat Iran.

"Hanya dalam keadaan ini Selat Hormuz akan dibuka semula," ujarnya menerusi platform X.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari memberitahu, AS dan Iran sedang meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pihak pengantara.

Meskipun pasukan Qatar yang berkunjung ke Tehran sudah kembali ke Doha, rundingan masih diteruskan.

Seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata, maklum balas daripada Washington dan Tehran dijangka diterima dalam tempoh 36 jam akan datang.

Sementara itu, Ketua Staf Am Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi berkata, pihak tentera Iran sedang mengemas kini senarai sasaran yang merangkumi aset ketenteraan AS dan Israel, sambil menegaskan bahawa Iran akan bertindak balas serta-merta terhadap sebarang ancaman.

Terdahulu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei mengarahkan tenteranya segera bertindak balas terhadap sebarang ancaman musuh.

Akhbar berhaluan kiri Iran, Kayhan pada Selasa melaporkan kemudahan ketenteraan AS di Britain, Itali, Greece, Romania, Albania dan Cyprus mungkin menjadi sasaran sekiranya perang kembali tercetus. - Agensi