Tiada kompromi terhadap keganasan rumah tangga -Exco

Iklan
Lim Siew Khim

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga termasuk yang melibatkan individu berpengaruh atau wakil rakyat.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, setiap pihak tertakluk kepada undang-undang sama tanpa mengira pangkat, jawatan dan kedudukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada mana-mana individu yang seharusnya menerima layanan berbeza hanya kerana jawatan atau kedudukan yang disandang.

"Keganasan rumah tangga tidak mengenal pangkat, jawatan atau kedudukan seseorang. Sama ada melibatkan orang awam, individu berpengaruh mahupun wakil rakyat, setiap individu tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Iklan

“Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap apa juga bentuk keganasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan keganasan rumah tangga yang baru-baru ini melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Iklan

Bagaimanapun, Siew Khim berkata, memandangkan kes berkenaan kini dalam siasatan polis, semua pihak perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan atau spekulasi tidak sepatutnya.

Menurutnya, sebarang kesimpulan atau hukuman terhadap mana-mana pihak tidak wajar dibuat sebelum fakta sebenar dikenal pasti.

“Sekiranya terdapat sebarang salah laku yang dibuktikan, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi berhubung kes berkenaan.

"Adalah amat penting dalam menghormati proses perundangan bagi memastikan keadilan dan hak semua pihak terpelihara," ujarnya lagi.

Beliau juga menegaskan, kerajaan negeri kekal dengan pendirian tegas menentang segala bentuk keganasan rumah tangga selain menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Pendirian kita jelas. Kita tidak akan berkompromi terhadap keganasan rumah tangga dan tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.

“Pada masa sama, kita mesti menghormati proses perundangan dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil tanpa sebarang prasangka.

“Biarlah proses undang-undang menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Khim berkata, isu berkenaan turut menjadi peringatan bahawa keganasan rumah tangga merupakan masalah sosial serius yang memerlukan perhatian serta tindakan berterusan daripada kerajaan dan masyarakat.

Katanya, usaha menangani keganasan rumah tangga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penguatkuasaan selepas sesuatu kejadian berlaku sebaliknya perlu merangkumi aspek pencegahan serta memastikan mangsa mengetahui saluran bantuan yang tersedia.

“Lebih penting, mangsa perlu mempunyai akses kepada perlindungan, khidmat nasihat dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pulau Pinang terus memperkukuh usaha pencegahan dan penanganan keganasan rumah tangga melalui kerjasama dengan Women’s Centre for Change (WCC), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta pelbagai agensi berkaitan.

"Antara inisiatif dilaksanakan ialah pengenalan Dasar Keluarga Selamat pada 2020 sebagai kerangka memperkukuh kesedaran, pencegahan serta mekanisme sokongan berasaskan komuniti kepada mangsa keganasan rumah tangga," katanya.

Beliau menambah, melalui pembangunan rangkaian Pusat Sokongan Pertama, petugas barisan hadapan daripada pusat khidmat ADUN, jabatan kerajaan, organisasi komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan diberikan latihan serta kemahiran untuk menyediakan bantuan awal kepada mangsa.

"Rangkaian itu turut berperanan menghubungkan mangsa dengan agensi bersesuaian bagi mendapatkan sokongan lanjut.

“Sehingga 31 Oktober 2026, seramai 646 individu daripada komuniti dan organisasi berkaitan di seluruh Pulau Pinang telah menerima latihan sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongan ini,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menerusi PWDC turut memperkenalkan aplikasi mudah alih Penang Stop Violence bagi membolehkan individu yang berhadapan dengan keganasan mengenal pasti lokasi Pusat Sokongan Pertama berhampiran serta mendapatkan maklumat mengenai saluran bantuan yang tersedia.

"Pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan individu yang berhadapan dengan keganasan rumah tangga tidak dibiarkan tanpa akses kepada bantuan dan perlindungan.

“Mangsa keganasan rumah tangga tidak seharusnya merasakan bahawa mereka tiada tempat untuk mendapatkan pertolongan.

“Kita mahu memastikan sesiapa sahaja yang berhadapan dengan keganasan mengetahui bahawa bantuan, perlindungan dan sokongan sentiasa tersedia untuk mereka, tanpa mengira keadaan atau latar belakang masing-masing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang ADUN di sini memukul isterinya baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis memanggil empat individu yang juga ahli keluarga untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.