Ismail Sabri syor BNM, KKM tetapkan protokol sekatan panel rawatan ‘cashless’

Iklan
Ismail Sabri ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dicadang menetapkan protokol serta kerangka jelas bagi sekatan panel rawatan tanpa tunai (cashless) susulan tindakan syarikat insurans mengeluarkan sejumlah doktor pakar daripada kemudahan berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, menurut Persatuan Perubatan Malaysia, dianggarkan sekitar 190 doktor pakar di seluruh negara telah kehilangan kemudahan tersebut.

Iklan
Iklan

“Jumlah ini amat membimbangkan kerana akhirnya pesakit turut terjejas daripada segi akses dan kelangsungan rawatan.

“(Oleh itu) saya mencadangkan BNM bersama Kementerian Kesihatan menetapkan protokol dan kerangka jelas bagi sekatan panel, surat jaminan dan rawatan berterusan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Ahli Parlimen Bera itu turut mendedahkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai ada kes pembedahan terpaksa dihentikan susulan masalah kemudahan 'cashless' melibatkan doktor pakar di hospital swasta.

“Saya dimaklumkan terdapat doktor pakar yang dikeluarkan daripada kemudahan 'cashless' sehingga ada kes di mana pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa dihentikan kerana doktor yang bertugas tidak mempunyai kemudahan 'cashless' sehingga doktor dari hospital lain terpaksa dipanggil.

Iklan

“Persoalannya, apakah kriteria sebenar yang digunakan oleh syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel 'cashless'?” soalnya.

Ismail Sabri pada masa sama mempersoalkan sama ada keputusan menggugurkan doktor pakar daripada panel dibuat berdasarkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau semata-mata pertimbangan komersial.

Beliau juga membangkitkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada doktor pilihan mereka, khususnya apabila syarikat insurans didakwa seolah-olah menentukan pilihan tersebut walaupun premium dibayar setiap bulan.

“Jika atas alasan komersial, apakah jaminan bahawa doktor tidak dipilih atau diketepikan secara sewenang-wenangnya tanpa penilaian yang telus dan adil?

“Adakah prinsip ini dipatuhi oleh syarikat insurans dan apakah tindakan BNM setakat ini?” soalnya merujuk kepada prinsip melindungi hak memilih doktor yang ditekankan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Ismail Sabri meminta BNM menjelaskan sama ada terdapat garis panduan yang mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis, bukti serta hak rayuan sebelum seseorang doktor dikeluarkan daripada panel berkenaan.

Selain isu sekatan panel, Ismail Sabri turut membangkitkan kelemahan sistem kod perubatan, borang, proses kelulusan awal surat jaminan (pre-GL) dan kadar bayaran insurans yang masih belum seiring dengan kemajuan teknologi termasuk pembedahan robotik.

"Jika sistem sendiri tidak menyediakan pilihan yang tepat, adakah wajar doktor dipersalahkan hanya kerana terdapat kekeliruan dalam pengisian borang? Jangan sampai teknologi semakin maju, tetapi sistem masih ketinggalan sehingga doktor dan pesakit terpaksa menanggung akibatnya," ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan badan profesional dan industri insurans perlu menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala seiring dengan kemajuan teknologi.