Majikan tawar graduan TVET gaji setaraf pekerja asing – Belia Mahir

Iklan
Mohammad Rizan

SHAH ALAM - Sebahagian majikan didakwa masih menawarkan gaji setaraf pekerja asing kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meskipun mereka memiliki kemahiran serta kelayakan teknikal.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana kemahiran, kelayakan dan tanggungjawab kerja graduan berkenaan tidak diambil kira dalam penetapan gaji.

Iklan
Iklan

Menurutnya, graduan yang telah menjalani latihan teknikal sepatutnya dinilai berdasarkan kompetensi dan sumbangan yang mampu diberikan, bukannya dianggap sebagai tenaga kerja murah.

"Sikap sebegini menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab sosial dan semangat nasionalisme ekonomi dalam kalangan sebahagian pemain industri.

Iklan

“Jika syarikat mahu negara menyediakan tenaga mahir, industri juga perlu bersedia memberi ganjaran yang adil, persekitaran kerja yang bermaruah dan laluan kerjaya yang jelas.

“Keuntungan perniagaan tidak seharusnya dibina dengan mengetepikan kesejahteraan pekerja tempatan dan masa depan belia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohammad Rizan berkata, Belia Mahir menyokong ketegasan kerajaan mengawal kebergantungan industri terhadap pekerja asing, namun langkah itu perlu disusuli tindakan konsisten supaya lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat dinikmati rakyat tempatan, termasuk lebih 400,000 graduan TVET.

Jelasnya, semangat nasionalisme ekonomi bukan sekadar mengutamakan pekerja tempatan dalam pengambilan, sebaliknya turut menuntut kesediaan industri melabur dalam latihan, teknologi, produktiviti dan pembangunan tenaga kerja Malaysia.

"Pendekatan yang hanya bergantung pada buruh murah akan membantutkan peningkatan kemahiran, mengecilkan peluang mobiliti sosial dan melemahkan usaha membina ekonomi bernilai tinggi.

"Selain menawarkan gaji yang setimpal, industri perlu serius mempertimbangkan kemudahan seperti pengangkutan dan penginapan kepada pekerja tempatan.

"Sokongan ini boleh membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan menjadikan pekerjaan lebih menarik kepada graduan serta tenaga kerja tempatan," katanya.

Dalam masa sama, Mohammad Rizan turut menggesa industri mewujudkan jabatan atau bahagian Learning & Development (L&D) yang berperanan aktif dalam ekosistem latihan menerusi kerjasama berterusan dengan institusi TVET awam dan swasta.

Menurut Mohammad Rizan, kerjasama itu penting bagi menyelaraskan latihan dengan keperluan tempat kerja, menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan membina laluan kerjaya lebih jelas kepada pekerja.

"Belia Mahir mengakui pekerja asing mempunyai peranan dalam sektor tertentu, khususnya pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor.

"Namun, kebergantungan berlebihan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan graduan tempatan yang mempunyai kemahiran berkaitan," ujarnya.

Sehubungan itu, Belia Mahir menggesa kerajaan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperincikan pelaksanaan ketetapan berkaitan lesen serta memperkukuh pemantauan terhadap amalan pengambilan serta pembayaran gaji.

"Industri perlu bekerjasama rapat dengan penyedia TVET untuk menyelaraskan latihan dengan keperluan sebenar pekerjaan, menyediakan latihan di tempat kerja dan menawarkan imbuhan yang sepadan dengan kemahiran.

“Graduan TVET bukan pilihan terakhir, mereka ialah aset negara dan sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan tenaga kerja mahir Malaysia,” katanya.